comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengurusan tertinggi diseru hadir minggu pertama sekolah

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Semua peringkat pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diseru untuk hadir ke sekolah pada minggu pertama sesi persekolahan 2024/2025 yang bermula minggu depan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, tujuan kehadiran itu adalah untuk menzahirkan semangat kebersamaan dalam program pertama minggu persekolahan.

“Aktiviti ini bukanlah bersifat pemantauan atau penilaian tetapi lebih untuk menyantuni warga sekolah dalam program yang dilaksanakan di sekolah,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena pembukaan sesi persekolahan 2024/2025, di sini hari ini.

Jelasnya, sesi persekolahan kali ini adalah tahun kedua pelaksanaan pendekatan baharu iaitu tiada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah pada minggu pertama persekolahan.

Sebaliknya, minggu berkenaan bertujuan mengalu-alukan kehadiran murid supaya mereka berasa berminat dan seronok untuk hadir ke sekolah.

Menurut Azman, pendekatan itu akan mewujudkan budaya untuk hadir ke sekolah secara berterusan sekali gus momentum tersebut dikekalkan sepanjang tahun.

“Pada permulaan sesi persekolahan kali ini, pada hari kedua atau hari ketiga persekolahan yang bermula tahun ini juga merupakan bulan Ramadan. Oleh itu, kebijaksanaan barisan pentadbir di sekolah sangat dituntut untuk menyesuaikan aktiviti minggu pertama persekolahan dengan datangnya Ramadan ini,” katanya.

Tambah beliau, Ramadan tidak seharusnya menjadi alasan aktiviti minggu pertama persekolahan tidak dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Ujarnya, hasrat KPM melalui aktiviti minggu pertama adalah untuk melahirkan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.

“Kerjasama dan sokongan semua peringkat pengurusan tertinggi kementerian, JPN, PPD dan sekolah dipohon untuk memastikan kelancaran minggu pertama persekolahan ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini