Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju memberikan subsidi diesel kepada pengusaha feri, bot penumpang dan perkhidmatan feri RORO di pulau utama negara berkuat kuasa 1 Januari depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, harga siling diesel bersubsidi bagi perkhidmatan tersebut ditetapkan pada RM2.50 seliter dengan kadar maksimum subsidi sebanyak 50 sen seliter.
Menurutnya, tuntutan pertama boleh dikemukakan oleh pengusaha pada atau sebelum 20 Februari depan.
“Subsidi diesel ini akan dibekalkan di laluan-laluan strategik perkhidmatan feri, bot penumpang dan feri RORO seperti di Labuan, Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Ketam, Pulau Tioman, Pulau Redang dan Pulau Pinang,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Tambahnya, antara syarat permohonan subsidi diesel itu adalah pengusaha mesti berdaftar dengan Jabatan Laut dan mendapat bekalan diesel daripada syarikat bunker atau skid tank yang disahkan oleh pihak berkuasa.
Selain itu, mereka yang layak perlu mengemukakan permohonan kuota pembelian diesel kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel (JKSD) di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Tuntutan subsidi diesel perlu dibuat secara bulanan berdasarkan kadar yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) pada setiap bulan.
“Mereka perlu mengemukakan dokumen tuntutan yang disahkan oleh Jabatan Laut ke MOF serta satu salinan kepada Stesen Kastam terdekat untuk proses verifikasi tidak lewat daripada 20 haribulan bagi bulan berikutnya,” katanya.
Pada masa sama, Loke memberi amaran kepada pengusaha untuk tidak menaikkan harga tambang susulan pemberian subsidi tersebut.
Tegasnya, tindakan penarikan semula subsidi termasuk pembatalan lesen syarikat akan dikenakan kepada yang ingkar.
“Bantuan itu diberikan kepada mereka secara bersasar yang mana memang sebelum ini, pengusaha-pengusaha feri tersebut tidak pernah mendapat bantuan subsidi dari segi bahan bakar.
“Jadi sekarang ini kita bagi bantuan supaya mereka tidak terjejas daripada kenaikan harga diesel selepas diapungkan untuk memastikan mereka dapat mengekalkan harga tambang yang mereka laksanakan sekarang,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.