comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengusaha kantin SK Chepor akibatkan keracunan makanaan akan dituduh di mahkamah

IPOH: Pengusaha kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor, di sini yang dipercayai cuai hingga menyebabkan seramai 134 murid dan guru mengalami keracunan makanan minggu lalu, akan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memudaratkan kesihatan mangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, pihak pendakwaan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sudah mengumpul bukti yang cukup dan akan menfailkan pertuduhan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, dalam masa terdekat.

Menurutnya, kontrak pengusaha kantin itu juga ditamatkan serta-merta oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, meskipun kontrak asal masih berbaki hingga 30 November depan.

“Saya dimaklumkan oleh JPN bahawa pada tahun lalu, dua teguran bertulis sudah diberikan kepada pengusaha ini disebabkan gagal menjaga aspek kebersihan premis.

“Jarang kita dakwa ke mahkamah kerana tak mahu hukum seseorang semata sekali kesalahan, namun ini kes serius. Jadi saya putuskan kita harus dakwa kerana kita ada cukup bukti.

“Kalau kita ajar seorang penguasaha kantin, maka ini pasti menjadi peringatan yang tegas kepada penguasaha lain,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke kantin SK Chepor, di sini, hari ini.

Lawatan kerja Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India, A.Sivanesan (kanan) ke Sekolah Kebangsaan Chepor berkaitan dengan kes keracunan makanan dan penutupan Kentin Sekolah di Ipoh. FOTO: NSTP

Pada tinjauan terbabit, masih jelas terdapat najis tikus berasa di kawasan dapur kantin berkenaan.

Pada 26 September lalu, Sivanesan dilaporkan berkata, kantin sekolah terbabit diarah tutup selama 14 hari oleh JKN Perak.

Beliau dipetik berkata, murid sekolah terbabit mengadu minuman bancuhan berperisa coklatyang dijual dua hari sebelum itu berbau masam, selain sebahagian daging ayam goreng masih mentah.

Dalam perkembangan sama, Sivanesan memaklumkan dua murid sekolah yang sebelum ini dimasukkan ke wad kanak-kanak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk rawatan sudah didiscaj pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, pihak sekolah diminta supaya melantik seorang guru bagi meninjau kebersihan kantin serta bertindak sebagai panel perasa makanan sebelum diserahkan ia dijual kepada murid.

“Saya juga memohon maaf secara terbuka kepada ibu bapa atas kejadian yang terjadi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini