comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengusaha stesen minyak diseru buka peluang usahawan tempatan pasarkan produk

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pengusaha stesen minyak diseru untuk melakukan tanggungjawab sosial dengan membuka peluang kepada usahawan tempatan memasarkan produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk produk halal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, melalui usaha itu, ia akan meningkatkan pendapatan usahawan desa sekali gus mengurangkan jurang antara desa dan bandar.

“Apabila pertanggungjawaban sosial ini dilakukan, ianya bukan bererti segala-galanya diberikan percuma. Tetapi pertanggungjawaban untuk memasarkan (produk) agar hasil keluaran penduduk tempatan dan rakyat Malaysia yang selama ini menjadi pengeluar, apabila bahan-bahan itu diletakkan di eye-level (paras mata) yang boleh dilihat oleh pandangan pertama (pengunjung stesen minyak),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi usaha sama strategik di antara agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol), di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyaksikan MoU ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Azizul Azily Ahmad bersama pengurus besar lapan agensi terlibat.

Menerusi MoU tersebut, BHPetrol melabur RM45 juta untuk pembinaan 10 stesen minyak di lapan lokasi yang telah dimuktamadkan dan dua lokasi lagi masih dalam penelitian.

Turut diadakan, sesi penyerahan surat niat (letter of intent) daripada pihak BHPetrol kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi penempatan produk industri kecil dan sederhana (IKS) usahawan bimbingan MARA di 300 kedai serbaneka BHPetromart seluruh Malaysia.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyarankan pengusaha stesen minyak untuk menyediakan sedikit ruang untuk pembinaan teknologi akan datang dalam sektor automotif negara.

“Ini telah dilakukan di Sarawak dan saya harap di Semenanjung dan Sabah, perkara ini dapat dilakukan. Selain daripada EV (kenderaan elektrik), kenderaan hidrogen dan teknologi lain, yang boleh disediakan (ruang) nanti tanpa perlu ada pengubahsuaian besar untuk meletakkan ruang kepada teknologi baharu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini