comscore
Tumpuan :
Nasional

Peniaga bazar melecur 25 peratus, terkena minyak panas

JELEBU: Peniaga bazar Ramadan di Kuala Klawang, di sini, melecur hampir 25 peratus akibat terkena minyak panas yang tertumpah selepas gerainya dirempuh sebuah kereta, Selasa lalu.

Dalam kejadian yang berlaku jam 5.45 petang, disyaki sebuah kereta yang diletak di hadapan gerai menggelongsor sebelum melanggar gerai milik mangsa yang berusia 40 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, pelanggaran itu menyebabkan kuali yang dipenuhi minyak panas tertumpah dan terkena mangsa.

“Akibatnya, mangsa melecur pada bahagian belakang badan, peha dan betis kaki sebelah kiri.

“Ketika kejadian dipercayai terdapat dua kanak-kanak di dalam kereta tanpa pengawasan ibu bapa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Maslan berkata, mangsa dihantar ke Hospital Jelebu oleh ambulans sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi hari ini.

Katanya, polis masih menyiasat kejadian mengikut Rule 14(1)(A) LN 166/59 (tidak mematikan enjin ketika meninggalkan kenderaan).

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jelebu, Sarjan Azani Jusoh di talian 016-9752980.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini