
KOTA BHARU: Bekalan telur ayam di Kelantan didakwa berkurangan sejak lebih sebulan lalu berikutan pemborong menerima bekalan yang sedikit daripada peladang.
Tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong mendapati bekalan telur habis dan di kedai borong di Jalan Kuala Krai di sini pula berkurangan.
Pemborong telur, Rosmina Abdul Razak, 48, mendakwa, bekalan telur mula berkurangan sejak lebih sebulan lalu dan bertambah kronik sejak dua minggu lalu
Katanya, masalah itu dipercayai berpunca daripada kekurangan ayam telur di ladang. Bagaimanapun namun harga masih sama iaitu RM13.50 untuk Gred A, RM12.90 bagi Gred B dan RM12.30 untuk Gred C.
Akibat situasi itu, Rosmina terpaksa mengehadkan pembelian satu papan bagi setiap pelanggan di kedainya dan keutamaan diberikan kepada pelanggan tetap terutama peruncit serta pemborong.
“Kita hanya menerima bekalan telur sebanyak 7,000 papan untuk seminggu berbanding sebelum ini kedai ini menerima lebih 10,000 papan untuk tempoh yang sama.
“Bekalan ini dihantar oleh peladang dari Melaka yang dihantar dua kali seminggu dan dalam tempoh dua hari ia habis selepas dihantar kepada pemborong dan peruncit,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya, telur cepat habis di negeri itu kerana penduduknya menggunakan bahan asas berkenaan untuk membuat kuih-muih serta makanan makanan untuk dijual.
Peniaga kedai runcit, Amalin Syahira Huzaini, 24 berkata, bekalan telur berkurangan sejak seminggu lalu menyebabkan dia tidak dapat membeli bekalan itu sejak beberapa hari yang lalu.
Katanya, sudah tiga hari dia mencari bekalan telur di lebih empat kedai borong, namun hampa apabila tidak memperoleh bekalan untuk dijual di kedai runcit milik ayahnya, Huzaini Harun, 55, yang terletak di Peringat di sini.
“Saya buntu dan tidak tahu nak cari telur di kedai mana kerana pelanggan yang datang ke kedai runcit ayah sentiasa bertanya bekalan kerana mereka memerlukan.
“Saya harap perkara ini dapat diselesaikan berikutan orang ramai terutamanya penduduk kampung menjadikan telur ini salah satu daripada lauk utama mereka termasuk untuk membuat kuih-muih,” katanya.