comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Peniaga lega kawalan harga dan subsidi ayam ditamatkan 

 

 

KUALA TERENGGANU: Penamatan kawalan harga dan subsidi ayam berkuat kuasa 1 November ini disambut baik peniaga ayam di sini.

Peniaga ayam di Pasar Chabang Tiga di Kuala Terengganu yang ditemui berkata mereka boleh menarik nafas lega kerana mereka dapat menetapkan harga ayam mengikut harga yang ditawarkan pembekal.

Tambah peniaga, mereka dapat menjual dengan harga yang lebih munasabah kerana selama ini kos barangan seperti plastik dan air batu terpaksa ditanggung mereka.

Peniaga ayam, Azrul Alif Syafrin Haslin dan Sheikh Abdul Karim Amer Sheikh Matkob ketika ditemui berkata akan menjual ayam pada harga yang tidak membebankan pengguna.

“InsyAllah kita boleh jual lebih murah ataupun lebih sikit untung kita sebabnya sekarang ini  kita akan ikut harga pembekal dan saya boleh jual murah sikit serta kita tidak rugi dan juga tidak untung berlebihan”, kata Azrul.

“Tapi dari segi penjual tu dia mungkin dapat menerimalah apa yang kerajaan buat sekarang ni kerana jadi pendapat saya, saya sokong la jadi bukan kita nak harga melampau tidak la harga yang kerajaan syorkan tapi harga yang berpatutan kita buat la kita pun beli harga ayam sekiranya dalam harga RM7.40 sen kita mungkin jual dalam harga RM9.50 tidak membebankan pengguna,” ujar Sheikh Abdul Karim.

Sementara itu pengguna yang ditemui meluahkan rasa bimbang dengan penamatan subsidi berkenaan sekiranya berlaku kenaikan harga tidak terkawal.

Jelas Siti Mariah Ludin, perkara itu sudah pasti membebankan para pengguna yang kian terhimpit dengan kenaikan harga barang ketika ini.

“Kita agak rasa bimbang takut peniaga-peniaga ambil kesempatan untuk naikkan harga terlalu tinggi takut macam tu la kita ni dah la semua barang mahal barang basah mahal so agak bimbang la..harapan pada peniaga supaya bersikap jujur la tidak menindas para pembeli dengan naikkan harga terlalu tinggi,” katanya.

Kerajaan  akan menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula 1 November ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penamatan subsidi secara pukal itu adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang ketika ini turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

Kerajaan  sebelum ini telah mengeluarkan subsidi keseluruhan sebanyak RM3.8 bilion bagi menampung kos ayam dan telur sehingga Februari tahun ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini