comscore
Tumpuan :
Nasional

Peniaga putus urat jari, terkena libasan parang  adik kandung

Foto hiasan

ALOR GAJAH: Polis menahan seorang lelaki selepas didakwa menyerang abang kandungnya dengan parang di Kampung Nelayan Kuala Linggi, Kuala Sungai Baru, dekat sini, kelmarin.

Mangsa berusia 33 tahun yang juga peniaga, putus urat jari kiri selepas terkena libasan parang oleh suspek.

Dalam kejadian 8.47 malam itu, mangsa pada mulanya diserang dan dipukul oleh adik lelaki yang juga penganggur, dengan kayu pada tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suspek berusia 27 tahun itu turut memecahkan bahagian depan motosikal pengadu.

Katanya, bimbang tindakan agresif itu, mangsa terus membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru untuk mendapatkan bantuan bagi menahan adik lelakinya.

“Empat anggota polis bersama pengadu kemudian pergi semula ke lokasi dan operasi turut dibantu empat anggota Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia).

“Mangsa kemudian masuk ke dalam rumah dan dia diserang dengan menggunakan parang oleh suspek hingga cedera pada tangan dan jari kiri.

“Suspek yang agresif bagaimanapun berjaya ditahan oleh polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ashari berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Alor Gajah sebelum dirujuk ke Hospital Melaka, berikutan cedera parah di bahagian tangan kiri.

“Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan putus urat jari kiri sehingga menyebabkan tiga jari kirinya tidak dapat digerakkan.

“Keadaannya stabil namun masih berada dalam pemantauan doktor dan ditempatkan di wad Hospital Melaka,” katanya.

Beliau berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui motif suspek mengamuk dan mencederakan abang kandungnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini