comscore
Tumpuan :
Nasional

Peniaga terpaksa tutup operasi gara-gara gangguan bekalan gula 

Peniaga air balang, Junaidah Zakaria terpaksa mengurangkan jualan daripada 7 balang kepada 4 balang akibat kesukaran mendapatkan gula

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

SUNGAI PETANI: Kekurangan bekalan gula sejak dua minggu lalu di Tanjung Dawai, di sini, memberi tempias kepada golongan peniaga terutamanya yang mengusahakan kedai makan.

Setiausaha Peniaga-peniaga Kecil Malaysia, Hafisah Hanafiah berkata, lebih separuh daripada 40 peniaga kedai makan di situ terpaksa menutup operasi gara-gara kesukaran mendapatkan bekalan gula.

“Sebelum ini, masalah bekalan minyak. Kini peniaga baru hendak ‘bernyawa’, timbul pula isu gula.

“Kalau lihat situasi di Tanjung Dawai ini, ada peniaga yang terpaksa menutup kedai sebab tiada gula. Bagi yang bergantung pendapatan dengan berniaga, mereka buka kedai tapi terpaksa menjual semua minuman bersusu,” katanya kepada Buletin TV3 ketika ditemui di pesisir pantai Tanjung Dawai.

Tukang bancuh air menunjukkan bekas gula yang kehabisan

Justeru katanya, pihak yang berwajib perlu segera turun padang agar gangguan bekalan gula di kawasan itu dapat diatasi segera.

Sementara itu, beberapa peniaga ditemui berkata, mereka terpaksa keluar sejauh 20 kilometer ke Sungai Petani untuk mendapatkan bekalan yang harganya meningkat kepada RM3.80 sekilogram dan terhad 2 kilogram setiap pembelian.

“Dua minggu dah kami tak jual air yang bergula macam teh o ais, limau ais, semuanya air yang bersusu sahaja,” kata peniaga, Hasnah Che Ani.

Kebanyakkan peniaga di pesisir pantai Tanjung Dawai mengambil keputusan menutup perniagaan sehingga bekalan gula pulih

“Selalunya kami buat jualan air sehingga enam atau tujuh balang air tetapi disebabkan gula susah dapat, kami kurangkan kepada empat balang sahaja. Itu pun dua balang air bersusu,” kata peniaga air balang, Junaidah Zakaria.

“Saya kurangkan jualan air bergula tetapi pelanggan masih minta kopi o, teh o, saya terpaksa jual juga. Tetapi terpaksa naikkan harga sikit sebab gula kita beli pun dekat RM4 dah sekilogram,” kata peniaga air minuman, Fazilah Abdullah.

Hari ini, Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) mendedahkan, sembilan daerah di Kedah dilapor mengalami gangguan bekalan gula, dengan beberapa peniaga dikesan menaikkan harga.

Loading...
Terkini