comscore
Tumpuan :
Nasional

Penilaian Fizikal, Harga Perolehan LCA TUDM Selesai

SUBANG: Penilaian fizikal dan rundingan harga bagi perolehan 36 pesawat tempur ringan (LCA) kini selesai dan sudah diserahkan kepada Kementerian Kewangan untuk tindakan selanjutnya.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata setakat ini, laporan penuh berhubung perolehan aset itu juga sudah diterima pihak kementerian.

Katanya, rundingan harga dengan petender yang disyorkan sendiri dengan ‘end user’ (pengguna akhir) iaitu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga sudah selesai dan kini hanya menunggu keputusan Kementerian Kewangan.

“Ini janji saya kepada TUDM. Memang kita perlukan LCA dan percaya, tidak akan timbul masalah jika saya guna kaedah sebelum ini iaitu aset yang ditentukan oleh ‘end user’ sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama Malaysian Batalion 850-10 (MALBATT 850-10) Ke Lubnan di Pangkalan Udara Subang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affandi Buang.

Mengulas berkenaan ketiadaan lawatan evaluasi yang dibangkitkan petender, Hishammuddin berkata, perkara seperti itu akan sentiasa dibangkitkan terutama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

“Kalau nak cari salah, memang macam-macam tambahan dekat PRU. Saya percaya, selepas ini semua aset dan proses akan dipertikaikan.

“Tetapi kalau hendak tuduh perlu sertakan bukti dan fakta. Bagi saya, kalau sudah salah tetap salah dan kita akan salurkan kepada agensi yang akan menentukan tuduhan, biar mereka siasat,” katanya.

Terdahulu dilaporkan, sebanyak lapan syarikat antarabangsa dilaporkan membida tender pembekalan 36 jet LCA TUDM.

Tender terbuka berkenaan dilancarkan oleh Kementerian Pertahanan sejak 22 Jun dan ditutup pada 22 September tahun lalu.

Perolehan itu bakal menggantikan lima jet LCA dua kerusi model BAE System Hawk Mk 108 dan 13 buah model Mk 208 kerusi tunggal buatan Britain yang digunakan lebih sedekad lalu.

Langkah itu turut membabitkan penggantian tujuh buah jet latihan penggempur (FLIT) model Aermacchi MB-339CM buatan Itali, yang ketika ini ditempatkan di Pulau Pinang. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini