Oleh: Syafiqah Damanhuri
PETALING JAYA: Peningkatan kadar cukai minuman bergula (SSB) boleh memberikan kesan positif dalam membentuk masyarakat untuk memilih makanan lebih sihat.
Menurut Pakar Diabetes di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed berkata langkah itu pernah dilakukan kerajaan sebelum ini apabila melaksanakan cukai terhadap rokok bagi mengurangkan pembeliannya.
“Kita pernah ambil langkah sama dahulu semasa perkenalkan cukai rokok untuk kurangkan pembeliannya kerana membawa banyak mudarat.
“Jadi apabila ada cukai untuk minuman bergula ini kita harapkan masyarakat boleh tukar pengambilan makanan kepada yang lebih sihat,” katanya kepada Buletin TV3.
Usaha itu dilihat menjadi titik tolak dalam membentuk generasi lebih baik dan bermula dengan didikan pemakanan di rumah sejak dari awal usia.
“Kalau kita nak ajar cara pemakanan semasa dewasa memang susah. Sebab apabila sudah jadi tabiat, sukar nak ubah.
“Kita tahu bahawa tabiat (makan lebih gula) ini bawa penyakit, dan jika sakit, ubat boleh bagi. Tapi untuk ubah tabiat untuk ambil makanan sihat yang itu susah.” Jelasnya.
Bagi Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia, Datuk Seri Haniff Omar, kempen perangi gula perlu diperhebat dan diperluas.
Beliau mencadangkan kempen itu tidak terhad kepada minuman sahaja.
“Pihak yang mengeluarkan video tentang makanan, video mengenai resepi mungkin mereka boleh secara kreatif boleh mengubah sedikit resepi supaya penggunaan gula itu boleh dikurangkan.
Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan berhasrat meningkatkan kadar SSB dalam usaha membendung penyakit berkaitan gula khususnya diabetes dengan lebih berkesan.
Ia akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2025 bulan depan.
Untuk rekod, kajian kesihatan dan morbiditi kebangsaan 2023 mendapati hampir 3.6 juta rakyat Malaysia mengalami diabetes ketika ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.