comscore
Tumpuan :
Nasional

Peningkatan Tahap 2 laporan pemerdagangan manusia hasil usaha pelbagai pihak – KDN

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyambut baik peningkatan positif kepada Malaysia yang berjaya dinaik taraf ke Tahap 2 (Tier 2) dalam laporan tahunan Pemerdagangan Manusia (TIP) Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) tahun 2024.

Dalam kenyataan hari ini, KDN memaklumkan, peningkatan tersebut amat strategik dan signifikan kerana Malaysia dinilai pada Tahap 2 Pemerhatian (Tier 2 Watchlist) tahun lalu dan kali terakhir berada di Tahap 2 adalah pada tahun 2017.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha pelbagai pihak berkepentingan yang turut memberi sumbangan bermakna dan berterusan dalam menjayakan agenda membanteras pemerdagangan orang di Malaysia.

“Antara pencapaian signifikan yang direkodkan adalah peningkatan bilangan penyiasatan, sabitan kes dengan hukuman yang signifikan, program kesedaran dan pendakwaan terhadap penjawat awam.

“Pencapaian lain termasuk peningkatan pendakwaan kes pemerdagangan buruh, penyaluran peruntukan kepada rumah perlindungan serta peningkatan kelulusan kebenaran bergerak bebas kepada mangsa pemerdagangan orang,” menurut kenyataan itu.

Laporan TIP tahun 2024 diumumkan semalam di Washington DC.

Tahap 2 ditakrifkan sebagai tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minimum AS dalam menghapuskan pemerdagangan manusia, tetapi ada usaha signifikan untuk mematuhinya.

Tahun lalu, Malaysia dinaikkan ke senarai Tahap 2 Pemerhatian laporan TIP selepas diturunkan ke Tahap 3 pada 2021 dan 2022.

Penurunan tahap berkenaan membawa risiko terhadap eksport negara berpotensi disekat.

Mengulas lanjut, KDN berkata, laporan terbaharu itu juga menggariskan 16 perkara penambahbaikan dan pelan tindakan yang boleh dilaksanakan Malaysia untuk penilaian tahun berikutnya mulai 1 April 2024 hingga 31 Mac 2025.

Selain itu, laporan terbabit turut merekodkan perkara penambahbaikan baharu iaitu memberi perkhidmatan berpaksikan mangsa kepada semua tanpa syarat yang memerlukan penyertaan mereka dalam prosiding jenayah.

Menurut KDN, tiga fokus utama telah direncana bagi memandu hala tuju pelaksanaan usaha negara iaitu mempertingkatkan kerjasama antara agensi, memperhebat usaha mengenal pasti dan melindungi mangsa serta menambah baik proses pendakwaan.

“Dalam hubungan ini, Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui oleh KDN bersama kementerian dan agensi kerajaan lain beriltizam melaksanakan tindakan dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang di Malaysia termasuk dalam menangani trend terbaharu melibatkan penipuan pekerjaan dan insiden pekerja terabai.

“Usaha menoktahkan pemerdagangan orang ini memerlukan kerjasama erat pelbagai pihak berkepentingan,” menurut kenyataan itu.

Justeru, KDN dan MAPO terbuka untuk berganding bahu dengan badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO), pertubuhan antarabangsa, perwakilan diplomatik asing, ahli akademik dan pihak majikan dalam menangani isu tersebut melalui pendekatan menyeluruh.

KDN berharap komitmen berkenaan dapat menghasilkan inisiatif signifikan berdasarkan teras perundangan, penguatkuasaan, perlindungan dan pencegahan merentasi fungsi pihak berkepentingan yang boleh meningkatkan usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang di negara ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini