Tumpuan :
Nasional

Penipuan pelaburan: Suspek diburu polis Serdang ditahan di Tawau

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin

TAWAU: Seorang lelaki yang menjadi buruan lebih setahun kerana disyaki terbabit kes penipuan pelaburan membabitkan kerugian RM407,500.00 di Serdang, Selangor, akhirnya berjaya ditahan di sini.

Suspek berumur 46 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Strike Team, Balai Polis Tawau diketuai Inspektor Hamka Ab Rashid menerusi operasi khas di kawasan perumahan Batu 3, Jalan Apas, kira-kira jam 11.10 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata tangkapan dibuat susulan hasil maklumat dan risikan yang mengesahkan suspek dikesan berada di daerah ini.

“Tangkapan ke atas lelaki terbabit kerana dia disyaki terbabit dengan kes sedang disiasat bersabit laporan dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, pada 1 Disember 2023.

“Kesalahan berkaitan penipuan pelaburan membabitkan kerugian mencecah RM407,500.00 yang disiasat Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Jasmin berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek terbabit dalam kes-kes penipuan lain siasat.

Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian kegiatan jenayah yang didalangi individu terbabit.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada selain tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran termasuk skim pelaburan atau urusan yang mencurigakan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini atau jenayah lain boleh menyalurkan maklumat kepada IPD Tawau di talian 089-772121 atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini