comscore
Tumpuan :
Nasional

Penjadualan semula SPM,16 hingga 22 Mac untuk calon terbabit banjir, COVID-19

Anggota tentera membantu calon SPM SMK Laksamana Kota Tinggi selepas sebahagian laluan ke sekolah itu dinaiki air pada 1 Mac lalu – FOTO: Arkib NSTP

KUALA LUMPUR: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang tidak dapat menduduki peperiksaan seperti dijadualkan awal akibat banjir akan mendudukinya semula pada 16 hingga 22 Mac depan.

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, penjadualan semula peperiksaan itu juga membabitkan calon yang disahkan positif COVID-19.

“Penjadualan semula bagi calon yang terlibat akan diuruskan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Maklumat berkaitan tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan yang perlu diduduki akan dimaklumkan oleh JPN kepada calon serta sekolah yang terlibat.

“Calon turut dinasihatkan untuk menghubungi talian bilik gerakan Lembaga Peperiksaan (LP) dan JPN di seluruh negara bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai penjadualan semula peperiksaan SPM 2022,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kata kenyataan itu, KPM akan terus memantau situasi banjir dan persediaan dari segi logistik, kesiapsiagaan pusat peperiksaan dan pelantikan petugas peperiksaan bagi memastikan penjadualan semula peperiksaan SPM tahun 2022 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.

Selain itu, KPM juga mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera.

Pada 5 Mac (Ahad) lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, memaklumkan penjadualan semula SPM 2022 bagi 533 calon yang tidak dapat menduduki peperiksaan itu akibat banjir akan bermula 16 Mac.

Beliau dilaporkan berkata, daripada jumlah itu, 450 calon di Johor, Pahang (79) dan Sarawak (empat) bagi kertas mata pelajaran Ekonomi, Sains, Fizik dan Sains Rumah Tangga yang berlangsung pada 1 dan 2 Mac lalu.

Loading...
Terkini