comscore
Tumpuan :
Nasional

Penjaga akaun GISBH sudah ditahan – Razarudin

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sudah menahan seorang individu penting dalam rangkaian GISBH yang memainkan peranan sebagai pengendali aliran tunai untuk GISBH.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata individu tersebut diberkas dalam Op Global Fasa 4, di Butterworth, Pulau Pinang, Sabtu lalu.

“Dia diberkas selepas pihak polis memberkas pemimpin utama GISBH, Nasiruddin Mohd Ali di ibu negara, minggu lalu.

“Pada masa ini siasatan susulan masih dijalankan terhadap Shuhaimee bersama beberapa pemimpin lain termasuk meneliti segala akaun berkaitan dengannya.

“Dari situ kita akan jejak segala bentuk transaksi yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan GISBH,” katanya kepada BH hari ini.

Sebelum ini, seramai 19 individu dipercayai pimpinan tertinggi GISBH ditahan di sebuah residensi di Jalan Imbi, di sini, pada 19 September lalu.

Mereka yang ditahan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Nasiruddin, isteri dan dua anaknya dalam serbuan yang dilakukan pada jam 5.40 pagi.

Dalam perkembangan sama, laman Facebook PUKAS turut mendedahkan kutipan sumbangan yang diperoleh GISBH melebihi RM2.3 juta melalui 58 zon di seluruh dunia.

Katanya, duit akan diuruskan oleh wakil-wakil setiap zon melalui akaun peribadi, wang tunai, emas sebelum disalurkan kepada individu tersebut dan seorang wanita.

Wang berkenaan akan diagihkan kepada 10 individu penting sama ada untuk disimpan atau digunakan untuk membeli aset-aset di atas nama peribadi ahli-ahlinya selain sebahagian kecil untuk pengaliran tunai perniagaan anak-anak syarikat di bawah GISBH.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini