Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
KLANG: Mahkamah Sesyen Klang hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang penjaga rumah amal milik syarikat Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).
Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Barur Rahim Hisam, 23 tahun selepas dia mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan.
Dia dijatuhkan hukuman dua tahun bagi pertuduhan pertama dan kedua, manakala masing-masing tiga tahun untuk pertuduhan ketiga dan keempat.
Bagi tiga pertuduhan, dia didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap tiga kanak-kanak lelaki berusia 10 dan 11 tahun, telah menganiaya mereka dengan merotan semua mangsa sehingga mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Mahkamah Sesyen Klang hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang penjaga rumah amal milik syarikat Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH). pic.twitter.com/mhGQnliykV
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) September 26, 2024
Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa menganiaya seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dengan menekan dada mangsa menggunakan lutut sehingga mungkin mengalami kecederaan fizikal.
Mahkamah memerintahkan semua hukuman bermula tarikh tertuduh ditangkap pada 11 September lalu dan dijalankan secara berasingan.
Semua kesalahan didakwa dilakukan dua premis, di Bukit Raja antara Jun, Julai dan September tahun ini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau hukuman penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Timbalan Pendakwa Raya meminta mahkamah memberikan hukuman yang maksimum berdasarkan tujuh faktor pemberat yang dikemukakan agar menjadi contoh kepada dirinya dan orang ramai.
View this post on Instagram
Selain memohon hukuman yang dijatuhkan dijalankan secara berasingan.
Namun, tertuduh yang tidak diwakili memohon agar mendapat hukuman yang ringan kerana masih menanggung ibu dan bapa.
Tertuduh turut diminta menyempurnakan satu bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan cagaran sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Jika gagal, tertuduh akan dipenjara selama 6 bulan bagi setiap pertuduhan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.