comscore
Tumpuan :
Nasional

Penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib melepak, tunggang motosikal berbahaya

Foto hiasan

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Berlegar-legar di Kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) Parcel A dan Parcel B tanpa kebenaran, membuka baju serta melepak.

Itu antara kesalahan membabitkan pegawai dan kakitangan jabatan dan agensi di bawah Pentadbiran Am (PA) JPM yang dikenakan tindakan tatatertib.

Ketua Unit Integriti JPM, Jamil Mohd Dahalan berkata, kesalahan pelanggaran etika dan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan tersebut dilakukan tahun ini dan gelagat individu berkenaan dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

“Pada 2019, dua individu dikenakan tindakan tatatertib kerana kesalahan pelanggaran SOP keselamatan iaitu melepaskan pelawat tanpa pas keselamatan. Satu kes direkodkan tahun lalu bagi kesalahan pelanggaran etika dan menunggang motosikal secara bahaya dalam persekitaran Kompleks Setia Perdana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perkongsian ilmu anjuran Perpustakaan JPM bertajuk ‘Kesalahan Salah Laku di JPM’ yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook JPM, hari ini.

Jamil berkata, bagi tempoh lima tahun sejak 2018 sehingga kini, sejumlah 55 pegawai dan kakitangan PA JPM dikenakan tindakan tatatertib atas pelbagai kesalahan.

Kesalahan tertinggi direkodkan adalah tidak hadir bertugas iaitu 30 kes, diikuti 15 kes membabitkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Empat kes tatatertib pula adalah kesalahan pelanggaran SOP keselamatan dan masing-masing tiga kes pemalsuan sijil cuti sakit dan kes jenayah yang disabitkan di mahkamah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 18 pegawai dan kakitangan PA JPM dikenakan tindakan tatatertib dari awal tahun sehingga kini.

Jumlah itu meningkat lebih sekali ganda berbanding lapan kes direkodkan sepanjang tahun lalu.

“Kes tertinggi bagi tahun ini membabitkan kesalahan yang disiasat SPRM iaitu sebanyak 12 kes melibatkan pegawai keselamatan, manakala tiga individu turut dibuang kerja kerana tidak hadir bertugas. Malah ada yang tidak hadir selama setahun,” katanya.

Menurutnya, siasatan Unit Integriti turut mengesan dua individu terlibat kes penyalahgunaan dadah tahun ini setelah disahkan oleh pihak hospital.

Pada masa sama, Jamil turut menegur pegawai dan kakitangan JPM untuk mematuhi kod etika pemakaian baju Melayu.

“Pemakaian baju Melayu perlu lengkap bersamping, songkok dan berkasut, bukannya baju Melayu atau baju kurta dengan berseluar biasa. Ramai saya tengok seperti itu di JPM. Bahagian Sumber Manusia (BSM) perlu menegur,” katanya.

Loading...
Terkini