comscore
Tumpuan :
Nasional

Penjawat awam ditahan terima rasuah RM15,000 daripada syarikat pembalakan

Foto: NSTP

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM15,000 daripada sebuah syarikat pembalakan.

Suspek lelaki berusia lingkungan 40 tahun ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Sabah kira-kira jam 10 pagi tadi, ketika hadir memberi keterangan.

Sumber berkata, siasatan awal mendapati suspek melakukan kesalahan itu pada September 2019 kerana meminta wang rasuah kira-kira RM30,000.

“Suspek telah menerima wang rasuah kira-kira RM15,000 daripada syarikat pembalakan sebagai dorongan untuk meringankan impak laporan kesalahan aktiviti pembalakan haram,” katanya, hari ini.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Beliau berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

“Suspek dilepaskan dengan jaminan berjumlah RM 10,000 serta seorang penjamin dan dijangka akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah dalam masa yang terdekat,” katanya.

Sementara itu, beliau juga mengingatkan kepada penjawat awam di Sabah supaya tidak terbabit dengan gejala rasuah kerana ia akan merosakkan imej jabatan dan mencerminkan penjawat awam tidak berintegriti.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini