comscore
Tumpuan :
Nasional

Penjawat awam, isteri ditahan SPRM, disyaki salah guna kuasa 

FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan seorang Penolong Pegawai Tadbir Kanan di sebuah jabatan kerajaan negeri Terengganu dan isterinya kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dengan memberi kira-kira 70 perolehan pembaikan kenderaan bernilai anggaran RM130,000 kepada syarikat yang berkepentingan dengannya.

Suspek tersebut dikatakan memberi perolehan itu kepada syarikat milik isterinya selain turut mengesyorkan kerja-kerja pembaikan kenderaan jabatan berkenaan kepada bengkel yang dimiliki oleh sebuah koperasi yang mana suspek merupakan ahli lembaga koperasi dan merangkap Setiausaha Jawatankuasa Perdagangan di koperasi tersebut. 

Difahamkan, kedua-dua suspek berusia lingkungan lewat 50-an itu ditahan di pejabat SPRM Negeri Terengganu jam 11 pagi tadi semasa hadir memberi keterangan.

Masing-masing dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi proses permohonan reman.

Sumber itu juga menjelaskan bahawa kes ini dipercayai telah berlaku sejak tahun 2021 sehingga 2022.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.

Loading...
Terkini