comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Penjawat awam ponteng kerja beratus hari dikenakan tindakan tatatertib

 

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Seramai 591 penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib atas pelbagai kesalahan pada tahun lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, antara kesalahan dilakukan adalah gagal hadir bertugas sehingga beratus hari.

Menurutnya, seramai 51 orang telah dikenakan tindakan tatatertib, 28 orang ditahan kerja dan 14 orang digantung kerja, selain 498 orang membuat rayuan tatatertib.

“Paling terkenal (kesalahan) ialah ponteng dan tidak hadir bertugas, ada yang satu hari, dua hari, tujuh hari dan berpuluh hari dan ada ikut bulanan, ada cuti tahunan tanpa diketahui. Perkara ini tidak wajar berlaku dalam perkhidmatan awam.

“Kita telah bekalkan tatacara dan tata kelola hadir bertugas, (saya) seru (mereka) patuh peraturan demi kebaikan anggota dan kemajuan perkhidmatan awam,” katanya pada Majlis SPA bersama Media di sini hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman

Beliau berkata, penjawat awam tidak akan terlepas dari hukuman jika melanggar peraturan dan SPA akan bertindak selepas kes dibawa oleh ketua jabatan atau Lembaga Tatatertib setiap kementerian dan jabatan.

Tahun lalu, seramai 83 orang dikenakan tindakan tatatertib, 39 orang ditahan kerja, 10 orang digantung kerja manakala rayuan tatatertib membabitkan 314 orang.

“Selalunya hukuman rendah adalah amaran diikuti paling akhir adalah turun pangkat dan buang kerja. (Tindakan) buang kerja (bagi kes berkait) jenayah dan dadah (kerana) imej (penjawat awam) terjejas. Bagi (kesalahan) ratusan hari tidak hadir bertugas, mereka dibuang kerja,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zainal Rahim mengesyorkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merujuk kes salah laku jenayah rasuah membabitkan penjawat awam kepada jawatankuasa khas di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, ada antara agensi kerajaan tidak mengendahkan laporan salah laku membabitkan kakitangan mereka walaupun SPRM telah mengesyorkan supaya tindakan diambil.

Laporan itu mengatakan sebanyak 553 laporan salah laku yang sebahagiannya dikemukakan 12 tahun lalu masih belum diambil tindakan oleh ketua jabatan.

Loading...
Terkini