comscore
Tumpuan :
Nasional

Penjawat awam Sabah terima bantuan khas setengah bulan gaji

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika membentangkan Belanjawan 2023 Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. NSTP/Ihsan Jabatan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU: Sabah bakal memberikan bantuan khas setengah bulan gaji dengan kadar minimum RM1,000 kepada seramai 20,271 penjawat awam negeri, pada Januari tahun depan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pihaknya prihatin dan mengambil berat kebajikan penjawat awam dalam negeri ini.

“Kecekapan penjawat awam dalam melunaskan amanah dan tanggungjawab yang menyumbang kepada pembangunan negeri dengan tidak berbelah bahagi amat dihargai.

“Justeru, dalam Belanjawan 2023, kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan setengah bulan gaji dengan kadar minimum RM1,000 kepada seramai 20,271 penjawat awam negeri dan akan dibayar pada Januari 2023.

“Bayaran Bantuan Khas ini diharap akan dapat meringankan bebanan perbelanjaan persekolahan anak-anak dan untuk sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

“Bantuan Khas sebanyak RM500 untuk sambutan Aidilfitri dan Pesta Kaamatan juga akan diberikan dan dibayar pada April 2023,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 Sabah di Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji berharap dengan pemberian insentif itu, penjawat awam Sabah dapat berusaha lebih cekap bagi memastikan mutu perkhidmatan kepada rakyat dapat dipertingkatkan.

Sementara itu, Hajiji memaklumkan sejumlah RM12.83 juta diperuntukkan pada tahun hadapan untuk semua kementerian dan jabatan bagi Program Pembangunan Sumber Manusia.

Di samping itu, pihaknya juga menyediakan peruntukan RM7.5 juta bagi pembiayaan biasiswa dan kos latihan pegawai kerajaan di dalam dan luar negeri.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini