comscore
Tumpuan :
Nasional

Penjawat awam Selangor terima bantuan khas Aidilfitri sebulan gaji

FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan anggota perkhidmatan kerajaan negeri itu, akan menerima bantuan khas kewangan sempena Hari Raya Aidilfitri sebanyak satu bulan gaji atau minimum RM1,000.

Beliau berkata, ia merangkumi penjawat awam di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor, penjawat awam persekutuan di bawah pentadbiran SUK Selangor, Ahli Majlis serta guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

“Selain itu, bagi pemimpin masyarakat seperti Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Setiausaha MPKK, Pegawai Perhubungan Kampung, Ketua Komuniti, Penyelia Pusat Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Penggerak Belia Selangor (PeBS), akan menerima sebulan elaun,” katanya.

Berucap pada Majlis Rapat Rahmah Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa bersama Warga Penjawat Awam Negeri Selangor hari ini, Amirudin juga mengumumkan bagi penggerak masjid seperti nazir, imam rawatib, siak, bilal dan guru rakyat, akan menerima bantuan khas sebanyak RM500.

“Sebagai tanda penghargaan kepada jasa dan komitmen penjawat awam kerajaan persekutuan yang berkhidmat di negeri ini seperti polis, tentera, guru dan jururawat yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan (gaji pokok), turut akan menerima sebanyak RM200 secara sekali beri,” katanya.

Amirudin berkata, bantuan khas kewangan itu dijangka dapat dibuat kepada semua anggota yang berkelayakan, selewat-lewatnya pada 21 April depan.

Bantuan khas itu, sebagai menghargai usaha serta komitmen penjawat awam yang tidak mengenal erti penat bersama-sama memakmurkan negeri.

“Saya harap ia beri kelegaan dan menambah semangat kita semua, selain teruskan momentum sedia ada,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini