KANGAR: Semua penjawat awam pentadbiran Kerajaan Perlis termasuk kakitangan kontraknya, akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM2,000 seorang.
Pembayaran itu selaras Inisiatif 20 dalam Belanjawan 2025 Negeri Perlis yang bertemakan ‘Perlisku Bestari Berkat Lestari’ membabitkan penjawat awam negeri itu.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli menyifatkan penjawat awam adalah tulang belakang pentadbiran negeri dan aset penting dalam memastikan setiap dasar dan inisiatif dilaksanakan dengan berkesan.
“Bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam, kerajaan negeri bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM2,000 dengan implikasi kewangan sebanyak RM2,834,000 kepada 1,417 penjawat awam negeri termasuk kakitangan kontrak.
“Bayaran ini akan dibuat selama dua kali pembayaran pada bulan ini dan Mac tahun depan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Perlis pada Mesyuarat Keempat, Penggal Persidangan Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN, di sini, hari ini.
Mohd Shukri berkata, bagi memastikan integriti penjawat awam sentiasa berada pada tahap tertinggi, kerajaan negeri akan memperkukuhkan pelaksanaan program sedia ada dan pelaksanaan latihan berterusan kepada penjawat awam.
“Kerajaan negeri memperuntukkan RM200,000 bagi pembangunan latihan penjawat awam dan dimensi latihan perlu diperluas bagi memberi perspektif baharu dalam pembentukan sahsiah serta kemahiran.
“Kerajaan negeri menyambut baik pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baharu, yang dijangka memberikan struktur gaji lebih adil dan kompetitif.
“Selaras pelaksanaan SSPA berkuat kuasa 1 Disember lalu, penjawat awam akan memperoleh pendapatan minimum berjumlah RM2,115 sebulan,” katanya.
Katanya, susulan perbelanjaan tambahan perlu ditampung kerajaan negeri berjumlah RM4.3 juta itu, beliau berharap semua penjawat awam negeri ini dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada seluruh pemegang taruh terutama rakyat Perlis.
Terdahulu, beliau mengumumkan Belanjawan Tahun 2025 Perlis memperuntukkan RM303.28 juta bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan, menjadikan ia belanjawan terbesar yang pernah dibentangkan kerajaan negeri itu.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM196.11 juta atau 66.66 peratus disediakan di bawah perbelanjaan mengurus, manakala RM107.17 juta atau 35.34 peratus diperuntukkan di bawah perbelanjaan mengurus.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.