comscore
Tumpuan :
Nasional

Penjawat awam usah tumpu kerja pejabat sahaja, turun padang selami isu rakyat juga – KSN

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menyampaikan amanat kepada penjawat awam di Auditorium Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Putrajaya, hari ini. – Foto FB Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara

PUTRAJAYA: Penjawat awam diingatkan agar turun padang untuk mendapatkan input lebih realistik, khususnya mengenai permasalahan rakyat dan tidak terlalu menumpukan kerja di pejabat sahaja.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, menyarankan penjawat awam untuk meneladani apa dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering melakukan aktiviti turun padang seperti makan tengah hari bersama rakyat pada setiap Jumaat di seluruh negara.

Beliau berkata kaedah sebegitu boleh dijadikan contoh untuk penjawat awam mendapatkan cadangan, harapan termasuk rungutan secara langsung daripada rakyat, sekali gus setiap permasalahan berbangkit dapat ditangani dengan sebaik mungkin.

“Kalau kita masih ingat, setiap hari Jumaat sebelum bersolat Jumaat… Perdana Menteri akan turun lebih awal untuk sama-sama makan tengah hari bersama rakyat di pelbagai lokasi di seluruh negara.

“Isunya bukan sahaja beliau (Perdana Menteri) hadir untuk sama-sama menikmati makanan dengan rakyat tetapi lebih kepada untuk mengambil peluang mendengar keluh kesah, cadangan dan harapan rakyat kepada kerajaan yang beliau pimpin.

“Jadi saya rasa perkara ini boleh dijadikan sebagai contoh untuk setiap daripada kita, ketua-ketua jabatan untuk bersama-sama turun padang. Ini kerana, apabila kita melihat sendiri apa yang dilalui oleh rakyat maka kita lebih mudah memahami dan lebih mudah menghayati permasalahan itu.

“Hal ini kerana kadang-kadang kalau kita membuat keputusan, kita banyak berada di pejabat, lebih kepada kertas atau cadangan yang diangkat oleh pegawai-pegawai kita. Saya khuatir kalau kita tak dapat menghayati isu sebenar yang dihadapi di bawah yang amat diharapkan oleh rakyat pada kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada penjawat awam di Auditorium Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini, hari ini.

Menyentuh isu kemiskinan yang kadarnya meningkat 3.8 peratus bagi miskin bandar, Mohd Zuki mengarahkan Kementerian Ekonomi dan Unit Penyelarasan Ekonomi (ICU) untuk melihat dan mengambil saranan Perdana Menteri, agar memastikan cara mengukur kemiskinan betul-betul memberikan gambaran sebenar seiring situasi negara.

Memetik data Majlis Tindakan Ekonomi, beliau berkata sebilangan golongan M40 menurun taraf kehidupannya dengan memasuki kategori B40 rentetan merudumnya ekonomi global.

“Justeru, saranan Perdana Menteri untuk melaksanakan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi sebagai kaedah alternatif untuk mengukur kemiskinan perlu disambut baik dan dilaksanakan segera oleh jentera pentadbiran kerajaan.

“Pengukuran kadar kemiskinan dalam negara pada ketika ini menggunakan pendekatan satu dimensi iaitu pengukuran berdasarkan dimensi pendapatan. Kaedah ini dilihat kurang memberi petunjuk yang tepat bagi menggambarkan situasi kemiskinan negara.

“Jadi bagi saya, pengukuran kemiskinan yang lebih komprehensif ini dijangkakan akan memberikan gambaran lebih tepat mengenai status kemiskinan di dalam negara dan seterusnya agenda membasmi kemiskinan dapat kita rangka dan laksanakan dengan lebih pragmatik,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini