comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Penjimatan subsidi bersasar bukan untuk naikkan elaun menteri – Anwar


Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Langkah penjimatan kerajaan hasil pelaksanaan penyasaran beberapa subsidi bukan untuk meningkatkan elaun menteri atau kepentingan lain, sebaliknya dikembalikan kepada kumpulan rentan dan benar-benar berhak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pelaksanaan penyasaran semula subsidi elektrik, pengapungan harga ayam dan yang terbaharu penyasaran subsidi diesel dapat menjimatkan kira-kira RM10 bilion setahun kepada kos kerajaan.

“(Penyasaran subsidi) yang pertama iaitu tarif elektrik kurang kontroversi kerana kita selamatkan 85 peratus rakyat, ia terkena hanya kepada golongan tertinggi 15 peratus ke atas dan warga asing yang kita dapat jimatkan RM4.5 bilion satu tahun.

“Pengapungan ayam menelan belanja (subsidi) RM1.2 bilion setahun. Bayangkan dari zaman dulu saya Pengerusi Jawatankuasa Pengawalan Harga sewaktu Menteri Kewangan dulu, setiap kali menjelang musim perayaan mesti naik harga barang, maka kita beri subsidi untuk sederhanakan harga.

“Tapi bila kita bincang tahun lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (bentang di Mesyuarat Jemaah Menteri), kita kata, mengapa harus diteruskan (subsidi) kerana kita melihat faedahnya lebih banyak kepada syarikat besar atau kartel ayam.

“Maka kita runding dengan tegas dan buat persiapan dengan cukup rapi dan akhirnya ditarik balik RM120 juta sebulan dan RM1.2 bilion setahun, harga tidak naik, kita selamatkan RM1.2 bilion. Maknanya politik stabil dan ketegasan tekad politik itu penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penyasaran subsidi diesel dapat menjimatkan RM4 bilion yang sebahagiannya untuk keperluan pengangkutan awam selain menambah suntikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang mencecah RM10 bilion.

Mengulas lanjut, jelasnya, kerajaan tidak terburu-buru melaksanakan penyasaran subsidi diesel yang berkuat kuasa mulai semalam.

Beliau mendedahkan, kerajaan menangguhkan pelaksanaan itu beberapa bulan lalu untuk melakukan persiapan rapi dengan Jemaah Menteri hampir setiap minggu mendapat perkembangannya untuk memastikan ia berkesan.

Katanya, subsidi bahan api itu masih kekal diteruskan untuk pengangkutan awam dan kepada golongan nelayan serta pekebun kecil yang mencecah 30,000 orang termasuk pekebun sayur di Cameron Highlands supaya tidak dijadikan alasan untuk menaikkan harga.

“Dasar memang baik, semua Perdana Menteri dari dulu setuju mesti ada penyasaran subsidi malah ini dibincang semasa saya jadi Menteri Kewangan dulu, lebih 25 tahun sudah dibicarakan perlu ada penyasaran subsidi.

“Tetapi tidak berupaya dilakukan kerana tidak mudah, selalunya pimpinan politik fikir juga kesan negatif, jadi apapun kalau tarik subsidi atau naikkan cukai memang membebankan dari segi pandangan politik.

“Tetapi dalam pertimbangan kita, saya beritahu rakan Jemaah Menteri, kita kena buat keputusan baik iaitu sementara kita harus bantu rakyat majoriti, kita tidak harus beri subsidi kepada golongan maha kaya, industri-industri besar dan orang asing.

“Bukan diskriminasi kepada orang asing (tetapi) kerana orang asing tak bayar cukai dan cukai levi (dikenakan) yang sangat kecil. Oleh yang demikian tanggungjawab pertama kita adalah kepada warganegara kita.

“Saya ucap alhamdulillah, selain parti dalam Kerajaan Perpaduan MADANI, setakat ini nampak kenyataan dari pimpinan PAS agak lunak, tidak menentang hanya memantau. Tiada masalah kerana pembangkang harus pantau pelaksanaan dan kita juga harus pantau,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini