comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penjual roti mengaku bersalah cederakan isteri

MELAKA: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya, minggu lalu.

Tertuduh, Nor Amin Ahmad, 39, penjual roti dari Kampung Tedong, Paya Goyang, Merlimau, dekat sini, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan.

Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap isterinya, Noraini Ramli, 40, di ruang tamu sebuah rumah di Jalan Kasa Heights, 40, Taman Kasa Height Residence, Alor Gajah, pada 11 Mei 2023, kira-kira jam 7.55 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 326 kanun sama, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan denda atau mana-mana dua seksaan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan dipertuduhkan tidak boleh dijamin.

Namun, jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan jaminan, pihaknya memohon jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis dan tidak mengganggu mangsa dan saksi.

Tertuduh bagaimanapun merayu jaminan itu dikurangkan kerana perlu menanggung empat anak.

Selepas mendengar hujah pendakwaan dan rayuan tertuduh, Hakim Darmafikri Abu Adam membenarkan jaminan RM13,000 berserta syarat dipohon pendakwaan.

Kes akan disebut semula pada 14 Jun depan bagi fakta dan hukuman di Mahkamah Sesyen Alor Gajah.

Loading...
Terkini