Tumpuan :
Nasional

Pensijilan MSPO: Tanah Orang Asli memadai terima surat pengesahan dari kerajaan negeri

Oleh: Kumaran Rajamoney

KUALA KANGSAR: Surat Pengesahan Hakmilik Tanah bagi kawasan penanaman sawit yang diusahakan Orang Asli boleh dijadikan sandaran bagi Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyediakan pengesahan surat berkenaan penting dalam memastikan syarat eksport antarabangsa dipenuhi.

Jelasnya, Kesatuan Eropah (EU) misalnya komited dalam pelaksanaan Peraturan Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR).

“Sekarang ini nilai eksport mencecah RM100 billion, yang mana kalau tidak dijaga boleh terjejas. Kita perlu menjaga standard yang ditetapkan MSPO.”

“Justeru, kita akan bantu untuk pemerolehan hakmilik tanah di kawasan penanaman sawit sedia ada ini. Jadi bila sudah ada pengesahan dari kerajaan negeri, maka kita boleh memberikan justifikasi di peringkat antarabangsa.”

Malaysia katanya menghasilkan 18.6 juta tan minyak sawit, dengan penggunaan domestik hanya sekitar lima juta tan.

Justeru, penggunaan hasil dari ladang tanpa persijilan MPSO katanya akan memberikan risiko kepada pemain industri tidak mampu membuat pengeksportan ke negara luar.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat semalam, agar Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melonggarkan syarat penjualan buah kelapa sawit tanpa perlu mewajibkan geran tanah dan lesen kerana ia membebankan pekebun kecil khususnya masyarakat Orang Asli.

Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, didatangi wakil masyarakat Orang Asli di kawasannya yang melahirkan kebimbangan susulan langkah kerajaan yang mahu mewajibkan perkara berkenaan sebagai syarat penjualan kelapa sawit.

Perkara sama turut melibatkan pemilik tanah pusaka yang belum selesai tuntutan pembahagian tanah atau masih di peringkat pentadbiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini