comscore
Tumpuan :
Nasional

Penstrukturan babitkan emolumen anggota polis dikaji 

Oleh: Fatin Hanani Sahimi 

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji penstrukturan gaji dan elaun semua anggota perkhidmatan awam serta emolumen anggota polis.

Timbalan Menteri Dalam Negeri , Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, KDN mengakui gaji dan elaun sara hidup anggota polis masih berada pada tahap rendah dan tidak memadai khususnya kepada anggota yang menetap di bandar besar.

“Selaras dengan inisiatif pembaharuan dalam perkhidmatan awam dan  seiring dengan aspirasi pembangunan Malaysia MADANI, Kerajaan sedang menyelaras kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

“Kajian komprehensif ini akan melibatkan penambahbaikan struktur gaji, elaun dan kemudahan bagi semua pegawai perkhidmatan awam termasuk anggota polis dan dijangka akan dilaksanakan pada tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim  berkenaan pertimbangan kadar gaji baharu anggota polis memandangkan kadar gaji terkini tidak kompetitif dengan keadaan ekonomi semasa dan tidak sepadan dengan tanggungjawab dan peranan anggota polis menjaga keselamatan negara.

Jelasnya, kerajaan sedar kadar berkenaan rendah berbanding kos hidup semakin tinggi terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Justeru pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam bagi menilai aspek berkenaan.

Dalam pada itu, mengenai kesediaan kerajaan mempertimbangkan kadar gaji baharu untuk anggota polis mengambil kira ia tidak kompetitif dengan keadaan ekonomi semasa jelasnya,, gaji pokok diterima anggota polis tidak statik, sebaliknya akan sentiasa dikaji.

Tambahnya emolumen termasuk gaji pokok, imbuhan tetap dan elaun lain diberikan berdasarkan penugasan, kepakaran dan risiko tugas yang jumlah keseluruhannya melebihi paras gaji minimum sebanyak RM1,500 yang ditetapkan kerajaan.

Sehingga 31 Januari lalu, sebanyak  27 bayaran insentif dan elaun dinikmati oleh anggota polis mengikut bidang penugasan dan penempatan masing-masing.

Ia termasuk  bagi pemusnah bom, insentif pertukangan, insentif khas juruterbang dan penyelenggara kapal berlesen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini