comscore
Tumpuan :
Nasional

Penstrukturan semula Jawatankuasa Teknikal MA63 dijangka dimuktamad bulan ini

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ditemui selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baru Cina Kepada warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) kawasan Matang, Kuching.

KUCHING: Penstrukturan semula Jawatankuasa Majlis Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (JKMTPMA63) dijangka akan dimuktamadkan pada bulan bulan ini.

Penyusunan semula itu termasuk mencadangkan kemasukan dua lagi ahli baru yang akan mewakili Sabah dan Sarawak ke dalam jawatankuasa berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, draf memorandum penstrukturan semula jawatankuasa itu telah siap dan ia akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Persekutuan.

“Inilah yang akan dibawa ke mesyuarat kabinet secepat mungkin dan itulah cadangan dan strukturnya.

“Draf memorandum sudah sedia, cuma untuk dimasukkan dan diedarkan kerana ia melibatkan proses-proses tertentu dan diharapkan ia dapat diselesaikan dalam bulan Februari ini,”

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baru Cina Kepada warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) kawasan Matang di sini.

Menerusi draf berkenaan, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dicadang sebagai wakil Sabah manakala Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dicadang untuk mewakili Sarawak.

Fadillah berkata, penstrukturan semula jawatankuasa itu dilakukan susulan ketiadaan portfolio di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) yang sebelum ini disandang Datuk Armizan Mohd Ali.

Katanya, cadangan melantik dua wakil Sabah dan Sarawak itu adalah bagi membantu beliau menyelesaikan perkara-perkara berbangkit dalam JKMTPMA63 termasuk menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat ketika ketiadaan beliau.

Perundingan isu berbangkit MA63 dilaksana dalam tiga peringkat dengan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga disertai Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam majlis berkenaan.

JKTMTPMA63 diketuai Datuk Seri Fadillah, manakala Jawatankuasa Kerja pula diwakili semua pegawai kerajaan yang akan membincangkan perkara asas tuntutan MA63.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini