KUALA LUMPUR: Teka-teki sama ada kem kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan mengalami penstrukturan semula atau tidak khususnya dalam perseorangan lelaki akan diketahui esok.
Spekulasi membabitkan penstrukturan semula barisan kejurulatihan di BAM tercetus selepas badan induk itu mengeluarkan iklan jawatan kosong bagi posisi jurulatih perseorangan lelaki pada Mei lalu.
Pemangku Presiden BAM, Datuk V Subramaniam ketika ditemui baru-baru ini tidak menafikan pihaknya sedang meneliti kontrak beberapa jurulatih yang tugas mereka bakal berakhir pada penghujung tahun ini.
Selepas dijadual mengeluarkan siaran akhbar mengenainya pada hari ini, begitupun Subramaniam selepas didesak pihak media berkata persoalan mengenai spekulasi itu akan dijawab dalam satu sidang media yang diadakan esok.
“Kami akan membuat pengumuman untuk menjawab segala persoalan dalam satu sidang media pada Selasa ini,” kata Subramaniam yang juga Presiden Persatuan Badminton Selangor.
“Jadi sebelum itu tiada apa yang kami boleh berikan sekarang dan semua persoalan akan dijawab nanti.”
Persoalan membabitkan perubahan jurulatih perseorangan timbul susulan prestasi yang ditampilkan barisan pemain negara dalam kategori itu yang boleh dikatakan tidak memuaskan.
Ketika ini, posisi pemain perseorangan lelaki terbaik negara diisi Lee Zii Jia yang menghuni ranking kelima dunia tetapi pemain itu tidak lagi bersama BAM dan sudah bergerak secara profesional.
Dan pemain terbaik negara di bawah badan induk itu adalah Leong Jun Hao yang menghuni ranking ke-27 manakala seorang lagi pemain, Ng Tze Yong mengisi ranking ke-18 namun sedang dipalit isu kecederaan.
Di ABM, pasukan kejurulatihan perseorangan lelaki diketuai oleh bekas juara dunia, Hendrawan dan dibantu oleh Datuk Tey Seu Bock.
Kedua-duanya turut dibantu seorang lagi jurulatih yang berada dalam jabatan itu, James Chua namun bekas pemain kebangsaan itu sah meninggalkan ABM berkuat kuasa 1 Oktober ini untuk menjadi Ketua jurulatih skuad badminton kebangsaan Republik Czech.
Sebagai rekod, Hendrawan dari Indonesia mula memegang tugasnya pada 2009 manakala Seu Bock sejak 2002 dengan kedua-duanya mempunyai kontrak sehingga penghujung tahun ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa