Tumpuan :
Nasional

Pentas Malam Puisi Riong, angkat golongan muda berkarya

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR: Pentas deklamasi puisi, Malam Puisi Riong anjuran Berita Harian (BH) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, gamat dengan kehadiran kira-kira 400 khalayak dengan golongan muda khususnya pencinta sastera tanah air.

Bertemakan ‘Malaysia Madani’ acara yang bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, itu menampilkan Sasterawan Negara (SN), penyair, penggiat media dan selebriti tanah air.

Tampil dengan edisi terbaharu, acara itu buat julung kalinya membawa kelainan dengan pertandingan puisidra membabitkan pelajar universiti awam (UA).

Acara berprestij itu turut dirasmikan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang menyifatkan penganjuran itu berperanan mengangkat tema penting tentang bahasa,budaya dan seni khususnya kepada golongan muda.

“Acara ini saya pasti akan memperkenalkan dan mendekatkan anak-anak muda dengan karya dan juga sasterawan-sasterawan negara,” katanya ketika ditemui media pada acara berkenaan, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima), Datuk Seri (Dr.) Syed Hussian Aljunid;Pengarang Urusan Kumpulan, Media Prima, Jasbant Singh; Timbalan Pengarang Kumpulan Media Prima dan Pengarang Kumpulan, New Straits Times, Farrah Naz Abd Karim dan Pengarang Eksekutif (Berita dan Digital) BH, Zainudin Mohd Isa serta Pengarah Projek Malam Puisi Riong BH merangkap Penolong Pengarang Rencana BH, Hafizah Iszahanid.

 

Hadir sama Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Tuan Haji Salahuddin Datuk Paduka Mohamed.

Fadhlina berkata karya puisi harus diperluas bagi memastikan golongan muda dapat meningkatkan keterampilan berbahasa yang menjadi antara elemen perpaduan.

“Saya melihat puisi ini harus dikembangkan sebagai sebahagian daripada usaha kita untuk memastikan generasi hari ini tidak terkecuali daripada mendapat apa yang dinamakan sebagai karya bangsa yang sering dijadikan sebagai alat perpaduan, kekuatan bangsa dan juga keluasan bahasa.

“Puisi ini cerita yang bergerak, sebuah pengalaman dan observasi sosial yang sangat penting dan ini yang saya banyak belajar daripada sasterawan negara berkenaan dengan observasi sosial yang sangat penting dan sangat tajam apabila mereka menulis dan mengulas puisi.

“Saya beranggapan bahawa mereka ini adalah cendekiawan yang memerhati dan juga meneliti isu dalam masyarakat,” katanya dalam ucapan pada majlis berkenaan.

Sementara itu, pentas deklamasi turut dimeriahkan dengan persembahan dari Sasterawan Negara, Datuk Rahman Shaari; penerima Hadiah Sastera Asia Tenggara 2010, Zaen Kasturi dan Sasterawan Mastera 2024, Muhammad Lutfi Ishak.

Acara turut gamat dengan persembahan bertenaga daripada tiga kumpulan terbaik penuntut dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Kumpulan Penyair Nasional (KHUPSAS) dari USIM berjaya merangkul gelaran juara sekaligus membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai RM3,000.

Manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi penuntut dari UPSI, iaitu Aiman Afiq yang membawa pulang RM2,000 dan Elvienie Petrus dengan RM1,000.

Dalam pada itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Malam Puisi Riong BH merangkap Timbalan Pengarang Kumpulan BH, M. Thillinadan dalam kenyataan hari ini, BH selaku penganjur Malam Puisi Riong berbesar hati dapat meneruskan kembali acara puisi ini bermula tahun 2023 dengan kerjasama DBP setelah kali terakhir diadakan pada tahun 2017.

“Menyebut perjuangan bahasa, budaya dan sastera, sebenarnya ia turut menjadi tonggak penting dalam akhbar BH sejak ia menemui pembaca pada 1 Julai 1957.

“Sasterawan dan pengarang seperti Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail dan salah seorang Sasterawan Negara (SN) sendiri, iaitu Datuk Seri A Samad Said antara tokoh kewartawanan tanah air sama ada BH mahupun New Straits Times.

“Begitu juga nama-nama seperti Allahyarham Sutung Umar RS, Allahyarham AR Kamaludin dan Abdul Rahim Abdullah menyuburkan sastera melalui akhbar BH, sekali gus memastikan ia turut memberikan sumbangan dalam kesusasteraan tanah air, selain memperjuangkan isu bahasa Melayu, sastera serta budaya.

“Justeru, tidak hairanlah BH selain memiliki ruangan sastera dan budaya, turut menganjurkan Malam Puisi Riong sebagai antara bentuk ekspresi sastera,” katanya.

Beliau berkata BH akan meneruskan penganjuran Malam Puisi Riong ini pada masa akan datang dengan menggunakan konsep pertandingan puisidra ini berdasarkan sambutan dan maklum balas yang diterima semasa penganjuran sulung pada tahun ini.

“Pada tahun hadapan, kita akan memperluaskan penyertaan pertandingan puisidra sempena Malam Puisi Riong bukan sahaja kepada institusi pendidikan tinggi awak (IPTA) dan universiti awam (UA), bahkan kepada institusi pengajian tinggi swasta,” tambah beliau.

Acara itu dikendalikan oleh pempengaruh, Zhiddin Aziz, selain persembahan daripada artis tempatan seperti Marsha Milan, Najwa Latif dan Keka Nizam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini