comscore
Tumpuan :
Nasional

Penternak dakwa enam kambingnya dibaham harimau kumbang

Foto hiasan

ALOR GAJAH: Seorang penternak berputih mata apabila enam kambingnya mati dipercayai dibaham harimau kumbang atau nama saitifiknya Panthera pardus dalam kejadian di Kampung Bukit Tampoi, di sini, pagi semalam.

Kejadian disedari pengadu, Ab Razak Ab Rahim, 34, apabila menemui bangkai enam kambing di kebunnya kira-kira 10 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pengadu membuat laporan berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah pada jam 2.15 petang semalam.

Beliau berkata, siasatan mendapati pengadu adalah penternak sepenuh masa dan memelihara 13 kambing sejak 2022.

“Pengadu menyatakan semasa sampai di kandang dia mendapati lima kambing sudah mati dan seekor ditemui mati dalam jarak 200 meter dari kandang.

“Kejadian itu adalah kali pertama dan pengadu mengesyaki perbuatan haiwan liar iaitu harimau kumbang dan membuat laporan bagi tindakan lanjut PERHILITAN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Melaka, Petra Sulai ketika dihubungi berkata, pihaknya menjalankan siasatan jam 9 pagi tadi di lokasi kejadian susulan aduan dibuat pengadu mengenai serangan harimau kumbang terhadap ternakan.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati enam kambing milik penternak mati akibat serangan itu.

“Begitupun kita tidak menemui apa-apa kesan tapak di lokasi kejadian selain bangkai sudah dilupus oleh pemilik.

“Penternak terbabit juga sudah memindahkan baki kawanan kambing peliharaannya ke kampung lain selain siasatan juga mendapati tiada hutan simpan berhampiran kampung berkenaan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan dan tindakan lanjut dengan memasang perangkap kamera bagi mengenal pasti spesies yang terbabit serta memasang perangkap harimau di lokasi kejadian esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini