comscore
Tumpuan :
Nasional

Penumpang ETS terkandas di Kamunting 9 April, boleh dapat pemulangan tambang penuh – KTMB

PETALING JAYA: Penumpang perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang terkandas di antara Kamunting dan Bukit Merah pada 9 April lalu, boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh.

Perkara itu dimaklumkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan media hari ini.

“Kesulitan ini amat kami kesali dan penumpang yang tidak meneruskan perjalanan, boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh. Para penumpang yang terkesan diminta untuk menghantar permohonan ke emel [email protected].

“Bagi penumpang yang membeli Pelan Takaful Premium, agen Khidmat Pelanggan kami akan menghubungi penumpang selewat-lewatnya Jumaat, 12 April ini, jika tidak, penumpang boleh membuat tuntutan dengan menghubungi Etiqa Claim Assist 010-368 7829 atau e-mel kepada [email protected]

Selepas menerima dokumen tuntutan yang lengkap, pihak takaful akan memproses tuntutan dan membuat bayaran dalam masa yang ditetapkan,” jelas kenyataan itu.

KTMB turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang.

Siasatan awal KTMB mendapati, gangguan berlaku disebabkan talian elektrik (alat talian atas) yang terputus luar jangka menyebabkan komunikasi kapten untuk membuat pengumuman kepada penumpang terbatas.

“Kru tren bertugas telah mengambil langkah untuk membuat pengumuman di setiap gerabak bagi menyampaikan maklumat berkenaan situasi yang berlaku. KTMB juga turut menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada penumpang yang terkesan sebagai pemakluman.

“Lokomotif bantuan telah dihantar namun gagal untuk menyelamatkan tren ETS yang terkandas dan pemindahan penumpang ke tren ETS bantuan terpaksa dilakukan dengan dibantu oleh kru tren dan kakitangan KTMB yang dihantar ke lokasi.

“Selain itu, para penumpang juga turut diberikan persegaran apabila tiba di Stesen Bukit Mertajam dan Butterworth. Siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian,” jelas KTMB lagi.

Loading...
Terkini