comscore
Tumpuan :
Nasional

Penumpang LRT arah Ampang dan Putra Heights boleh terus ke Masjid Jamek

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Bermula 1 hingga 16 Februari ini, pengguna transit aliran ringan (LRT) dari arah Ampang/Sri Petaling dan Putra Heights boleh meneruskan perkhidmatan sehingga ke Stesen Masjid Jamek.

Ketua Pegawai Operasi LRT Rapid Rail Sdn Bhd, Nor Azmi Mohd Yusof berkata berdasarkan perubahan pengoperasian itu, penumpang tidak perlu lagi turun di Stesen Hang Tuah bagi tujuan mendapatkan tren perantara untuk ke Stesen Masjid Jamek.

Katanya, bagaimanapun penumpang masih perlu mendapatkan khidmat bas perantara percuma bagi meneruskan perjalanan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya.

“Dalam tempoh yang sama, pihak Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) akan menjalankan operasi percubaan akhir perkhidmatan LRT di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya, sebagai persiapan sebelum pembukaan semula laluan ini kepada pengguna,” katanya.

Tambahnya, ketika ini jumlah tren yang digunakan di waktu puncak adalah sebanyak 24 tren dan akan ditambah kepada 31 tren mulai esok.

Selaras pertambahan tren itu, kekerapan waktu menunggu akan dikurangkan dari lima minit kepada 3.5 minit di waktu puncak bagi Daerah Pusat Perniagaan dan tujuh minit luar Daerah Pusat Perniagaan,” katanya.

Stesen LRT Masjid Jamek.

Sebelum ini, laluan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya ditutup sejak 27 Januari 2023 susulan daripada kejadian kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya yang menyebabkan tren tidak dapat melalui kawasan berkenaan.

Nor Azmi berkata pelaksanaan operasi percubaan akhir ini dijalankan sebagai mematuhi piawaian operasi dalam langkah untuk memastikan keselamatan pengguna dan kebolehpercayaan sistem rel.

Rapid Rail yakin pembukaan penuh laluan itu akan dilaksanakan pada penghujung Februari ini bergantung kepada penilaian dan kelulusan daripada pihak berkuasa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini