comscore
Tumpuan :
Nasional

Penunggang maut dekat Mantin, kejadian dipercayai langgar lari – Polis

SEREMBAN: Lelaki yang maut dalam kemalangan di Jalan Mantin- Beranang, berhadapan Taman Senangin, dekat Mantin, dipercayai akibat kejadian langgar lari.

Mangsa Mohamad Fitri Abdul Sani, 30, maut dalam nahas terbabit ketika menunggang motosikal ke tempat kerja.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Mat Ghani Lateh berkata, mangsa dipercayai dilanggar oleh kenderaan lain, namun belum mendapat nombor pendaftaran dan jenis kenderaan.

“Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian. Siasatan awal dijalankan dan mendapati kemalangan ini berlaku dipercayai kejadian langgar lari, kerana terdapat serpihan cermin sisi dan bumper warna putih di tempat kejadian.

“Pihak polis memohon kepada orang ramai supaya saksi kejadian tampil dan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai Inspektor B Sharveen Raj ditalian 011-26176424bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu kakak Allahyarham, Nor Nabila Abdul Sani, 32, berkata, anak kedua daripada enam beradik itu suka membantu keluarga lebih-lebih lagi sebagai anak lelaki paling tua.

“Kalau tidak boleh bantu wang, dia bantu dengan kudratnya. Apabila arwah sudah tiada, memang kami sangat terasa kehilangannya.

“Buat masa ini kami serahkan kepada pihak polis untuk buat siasatan.

“Mungkin kejadian langgar lari ketika mengelak lubang atau dipercayai akibat langgar lubang, namun yang jelasnya, jalan di lokasi memang teruk,” katanya.

Loading...
Terkini