comscore
Tumpuan :
Nasional

Penunggang motosikal maut digilis kereta

Foto: IPD PASIR PUTEH

PASIR PUTEH: Seorang penunggang motosikal maut selepas tercampak dan digilis kereta dalam kejadian di hadapan kedai bahulu Kampung Danan di Jalan Kota Bharu- Kuala Terengganu, dekat sini.

Dalam kejadian jam 2 petang semalam, mangsa berusia 23 tahun yang menunggang motosikal jenis Y15 ZR meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, mangsa dipercayai dari Pasir Puteh menghala ke Kota Bharu, memotong beberapa kenderaan lain kerana aliran trafik bergerak perlahan.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, satu kenderaan tidak dikenal pasti dari arah sama membelok keluar ke kanan, selepas terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan merempuh sisi kanan kenderaan itu.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan digilis kereta yang menghala ke Pasir Puteh,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Zaizul berkata, pemandu berusia 32 tahun dan penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh ke mana-mana balai polis berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Henry Dass a/l Tevatus di talian 016-5072413.

Loading...
Terkini