comscore
Tumpuan :
Nasional

Penunggang motosikal maut, kereta terbakar

Foto hiasan

PORT DICKSON: Seorang penunggang motosikal maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah kereta dalam satu kejadian berhampiran Bandar Springhill di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, dalam kejadian jam sekitar 6 pagi, yang berlaku dilokasi berhampiran Bandar Springhill apabila dua kenderaan itu bertembung di Jalan Seremban – Port Dickson.

“Pemandu kereta lelaki yang berusia 33 tahun adalah seorang peniaga manakala penunggang motosikal yang maut seorang lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sendiri.

“Penunggang motosikal itu maut di tempat kejadian manakala pemandu kereta itu hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini tadi.

Katanya, selepas perlanggaran berlaku, kereta mangsa mengalami tumpahan minyak dan berlaku kebakaran pada kenderaan itu.

“Akibat kebakaran itu, pemandu kereta segera keluar bagi menyelamatkan diri kerana bimbang terperangkap dalam api yang mula terbakar akibat tumpahan minyak dari kenderaan itu.

“Pihak polis meminta bantuan orang ramai jika ada saksi yang nampak kejadian yang berlaku agar tampil ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPDPort Dickson untuk bantu siasatan,” ujarnya.

Maslan berkata, kes ini masih dalam siasatan polis dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca kejadian dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh merumitkan siasatan pihak polis.

“Pihak polis juga komited pada pengguna jalan raya yang mengganggu gugat kelestarian keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini