BAGAN DATUK: Seorang penunggang motosikal maut, manakala seorang lagi cedera selepas terlanggar lembu yang sedang melintas di KM 24 Jalan Feri, dekat Hutan Melintang, di sini, malam tadi.
Difahamkan, mangsa yang maut dikenali sebagai Rohaizad Jaid, 37.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintendan Mohammad Ali Mohd Jali berkata, dalam kejadian sekitar 8 malam itu, dua penunggang motosikal masing-masing berusia 37 dan 38 tahun bergerak dari arah Sabak Bernam ke arah Hutan Melintang.
“Setiba di tempat kejadian, kedua-dua lelaki terbabit terlanggar lima lembu yang melintas jalan.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa berusia 37 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat.
“Mangsa berusia 38 tahun pula mengalami cedera ringan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, dalam kejadian sama, dua lagi lelaki pemandu lori dan kereta dari arah bertentangan masing-masing berusia 29 dan 44 tahun selamat.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.