
TAMPIN: Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh bahagian belakang lori yang sedang berhenti di lampu isyarat dekat Kilometer 25, Jalan Tampin-Gemas, Pekan Gemencheh, di sini, pagi tadi.
N Suresh, 32, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Supt. Amiruddien Sariman, berkata dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, kemalangan membabitkan sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 42 tahun manakala mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC.
“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku ketika pemandu lori yang menghala ke arah Gemas berhenti di lampu isyarat kerana lampu isyarat berwarna merah.
“Secara tiba- tiba telah kenderaan itu dilanggar dari arah belakang oleh mangsa yang menunggang motosikal dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya.
Mayat dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Tampin.