comscore
Tumpuan :
Nasional

Penuntut IPT dikesan ‘hidupkan semula’ khidmat ‘prebet sapu’ 

NILAI: Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di sini dikesan mengaktifkan semula perkhidmatan ‘prebet sapu’ selepas ia tidak lagi iaktif susulan kemunculan perkhidmatan e-hailing.

Lebih memburukkan keadaan penuntut yang terlibat tidak mengetahui kesan sekiranya berlaku kemalangan kerana keutamaan mereka ialah harga tambang yang ditawarkan lebih murah berbanding teksi atau e-hailing.

Difahamkan mereka dipercayai mempunyai kumpulan di dalam aplikasi Telegram yang disertai kira-kira 12,000 individu dengan rata-ratanya terdiri daripada penuntut IPT sebagai medium untuk menempah perkhidmatan prebet sapu.

Berikutan aduan daripada ibu bapa penuntut dan masyarakat setempat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan Ops Prebet Sapu pagi tadi di sekitar Nilai dan berjaya menahan lima pemandu dengan dua daripadanya adalah penuntut IPT.

Seorang penumpang berusia 22 tahun berkata, sebagai penuntut IPT yang perlu berjimat, perkhidmatan prebet sapu memang menjadi pilihan kerana ia mudah ditempat dan lebih murah.

“Kami tempah menggunakan ‘group’ aplikasi Telegram yang mana pemandu dan penumpang berada di dalam group itu. Terdapat tiga group yang menawarkan perkhidmatan ini.

“Di dalamnya terdapat kira-kira 12,000 ahli yang kebanyakan adalah pelajar. Malah, pemandu juga terdiri daripada pelajar dan bekas pelajar,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi selepas kenderaan dinaikinya ditahan JPJ, hari ini.

Pemandu prebet sapu seorang penuntut tahun satu berusia 20 tahun tidak menyangka ditahan kali pertama ketika dia mengambil penumpang menerusi khidmat prebet sapu.

Malah, katanya tujuannya menjalankan kegiatan itu untuk menambah duit poket tanpa mengetahui ia adalah satu kesalahan yang melanggar undang-undang.

“Sudah tiga bulan saya bawa kereta ke sini bagi memudahkan saya bergerak. Untuk tambah duit sampingan, hari ini saya mula buat perkhidmatan ini dan tidak tahu ia adalah salah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, antara aduan daripada ibu bapa adalah kebimbangan mereka terhadap pemandu yang tidak jelas kesahihannya.

“Kita tidak dapat untuk pastikan kesahihan pemandu ini sama ada ia sah atau sebaliknya yang berkemungkinan berisiko kepada kemalangan dan kejadian jenayah.

“Pemandu e-hailing yang berdaftar dan teksi juga mengadu pendapatan mereka terjejas di sekitar IPT selepas wabak Covid-19 yang lalu dan mengesyaki berlakunya kegiatan prebet sapu,” katanya.

Tambah beliau, agak mengejutkan apabila terdapat kakitangan IPT itu sendiri yang menawarkan perkhidmatan prebet sapu.

“Dalam operasi hari ini sebanyak lima kereta diperiksa dan didapati melakukan prebet sapu. Mereka melanggar Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana salah guna cukai jalan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini