comscore
Tumpuan :
Nasional

Penuntut KPTM cipta rekod MBOR, tulis esei dalam air

Ahmad Fudhail Ahmad Kenedi, 20, ketika menulis karangan sambil menyelam di kolam sedalam lima meter bagi mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) di Pusat Akuatik Kedah, di sini, hari ini. – FOTO: NSTP

ALOR SETAR: Penuntut Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di sini, diiktiraf individu pertama negara yang menulis esei sambil menyelam dalam kolam sedalam lima meter.

Pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records (MBOR) itu diberi kepada Ahmad Fudhail Ahmad Kenedi, 20, yang menulis esei bertajuk ‘Kepentingan Pembangunan Personaliti kepada Graduan’ di Pusat Akuatik Kedah hari ini.

Penuntut Diploma Pengurusan Pejabat itu berjaya menulis 350 patah perkataan menggunakan pen dan buku kalis air dalam tempoh sejam 34 minit.

Katanya, inisiatif itu dilakukannya sebagai inovasi dalam bidang selaman, selain galakan buat golongan muda untuk mengejar impian.

“Mulanya saya cadang untuk cipta rekod ini di laut tapi disebabkan faktor keselamatan termasuk cuaca tidak menentu, maka kami ubah rancangan kepada kolam.

“Dalam tempoh 20 hingga 30 minit pertama, segalanya berjalan lancar, namun selepas itu mula rasa sejuk, ketika itu di perenggan ketiga karangan.

“Saya juga berdepan kesukaran menulis dalam keadaan badan beralun, namun Alhamdulillah dapat juga selesaikan cabaran ini dan menunaikan janji kepada pihak kolej bagi memastikan sijil MBOR diperoleh,” katanya.

Menurutnya juga, rekod itu adalah permulaan buatnya dalam mencapai pengiktirafan lebih besar termasuk di peringkat dunia, seperti menyelam tiga hari berturut-turut.

Sementara itu, pengarah projek berkenaan yang juga Pensyarah Pengurusan Pejabat KPTM Alor Setar, Jamilatul Husna Ramli berkata, pihaknya sentiasa memberi sokongan kepada penuntutnya dalam mencapai impian masing-masing.

“Inisiatif ini sebenarnya daripada Ahmad Fudhail sendiri. Saya selaku penasihat program kemudian mengusulkan cadangan itu kepada Pengarah Mudzir Mohamad dan pengurusan kolej meluluskan dengan sokongan penuh.

“Pemilihan tajuk esei sememangnya cukup rapat dengan subjek yang diajar dan kami bersyukur usaha dan impiannya berjaya dilaksanakan,” katanya.

Loading...
Terkini