comscore
Tumpuan :
Nasional

Penyakit kencing manis di Malaysia no. 1 di Asia Tenggara, bukan sesuatu membanggakan – PM

Oleh: Juliana Sharin

PORT DICKSON: Jumlah penghidap kencing manis di Malaysia adalah tertinggi di Asia Tenggara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata ia bukan sesuatu yang perlu dibanggakan.

Sebaliknya menyeru rakyat supaya celik kesihatan dengan mengurangkan pengambilan gula.

“Tetapi kecelikan kesihatan rakyat masih di tahap yang masih rendah, obesiti berat badan berlebihan itu tinggi, kencing manis tinggi. Jadi tolonglah kita selamatkan negara kita, selamatkan anak-anak kita, selamatkan keluarga ibu bapa kita, dengan mengawal sedikit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan 2024; Pelancaran Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan dan Kempen Perangi Gula di Pantai Batu 1, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Tambahnya sebarang usaha yang dilakukan hanya akan berkesan sekiranya tindakan diambil segera termasuk memantau penggunaan gula di kedai makan.

“Saudara saudari meniaga ya untuk menjaga kebajikan keluarga, tetapi jangan korbankan orang lain. Gula berlebihan maknanya golongan yang menjual itu memberi sumbangan ke arah merosakkan badan dan kesihatan membelinya,” katanya lagi.

Beliau juga sekali lagi menekankan pelaksanaan pengurangan penggunaan 50 peratus gula dalam juadah bagi semua acara serta mesyuarat dianjurkan kerajaan.

Perdana Menteri turut meminta Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, untuk memantau penyediaan makanan dan minuman di kantin sekolah yang didakwa ada menjual makanan yang tidak sihat kepada pelajar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini