Tumpuan :
Dunia Seni

Penyampai radio Sarawak tidak ketinggalan cuba nasib di uji bakat Calpis Soda OIAM

KUALA LUMPUR: Siapa sangka daripada seorang penyampai radio, Haziq Nazir kini mencuba nasib untuk menjadi penyanyi.

Haziq atau dikenali sebagai Naz antara peserta yang hadir menguji bakat dalam Calpis Soda One In A Million (OIAM) di Kuching, Sarawak.

Mengakui tertekan dan gementar apabila berhadapan dengan juri serta penonton, namun pengalaman itu dianggap sebagai satu proses pembelajaran berharga untuk membantunya meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran persembahan.

“Menjadi penyampai radio dan penyanyi mempunyai perbezaan yang ketara, walaupun kedua-duanya melibatkan suara.

“Penyampai radio bergantung sepenuhnya pada suara untuk menarik perhatian pendengar tanpa visual, manakala penyanyi menggunakan suara, ekspresi wajah, dan gerak tubuh untuk menyampaikan emosi dalam lagu.

“Malah penyampai radio memerlukan kemahiran bercakap dengan spontan dan jelas, manakala penyanyi perlu menguasai teknik vokal serta penyampaian emosi melalui muzik,” katanya.

Naz berasa terharu apabila menerima komen daripada penyanyi profesional seperti Bob Yusof dan Shaffiq Erwin.

Baginya, setiap komen yang diberikan merupakan pengajaran yang sangat berharga, bukan sahaja untuk memperbaiki kelemahan tetapi juga sebagai motivasi untuk terus maju dalam dunia seni.

Anak kelahiran Sarawak berusia 25 tahun ini juga banyak menonton program realiti di TV3 seperti Mentor dan Lagu Cinta Kita, yang menjadi inspirasi besar untuk mendalami bidang nyanyian.

Minat menyanyi yang dipupuk sejak kecil mendorong beliau untuk mengejar cita-cita menjadi penyanyi profesional, termasuk pengalaman busking yang memberikan pendedahan awal dalam dunia hiburan.

Baginya, peluang ini bukan sahaja pengalaman yang sangat berharga tetapi juga langkah penting untuk mendekatkan diri kepada impian tersebut.

Walaupun rasa gementar itu sesuatu yang normal, malah baik untuk meningkatkan kualiti dalam persembahan, penting untuk belajar mengawal perasaan tersebut.

Dengan kawalan yang baik, ia membolehkan seseorang menikmati setiap momen di atas pentas dan memberikan yang terbaik kepada penonton.

Naz tidak akan berhenti berusaha dalam mengejar minatnya walaupun kini telah bergelar penyampai radio.

Semangat itu menjadi bukti bahawa Naz percaya minat dan bakat harus terus digilap tanpa mengira cabaran.

“Saya merupakan seorang yang suka mencuba perkara baru dan gemar mencabar diri.

“Tidak kira dalam bidang lakonan, nyanyian, mahupun sebagai penyampai radio, saya akan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam setiap apa yang ingin diceburi, kerana saya ingin menjadi inspirasi kepada orang ramai,” ujarnya.

Loading...
Terkini