comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Penyamun’ Ali Baba Bujang Lapok bergelut sara hidup

 

KOTA BHARU: Mantera “Niat enson matakaji semar ngiseng” dan “Rampo ngiseng semar tilem”, antara dialog paling mencuit hati dan diingati ramai dalam filem Ali Baba Bujang Lapok arahan Allahyarham P Ramlee, 63 tahun lalu.

Membawa watak ketua penyamun, P Ramlee membaca frasa dalam bahasa Jawa itu untuk membuka atau menutup pintu gua persembunyian mereka.

Tidak keterlaluan dikatakan ia malar segar sehingga kini, mungkin kerana cara seniman negara itu menyebutnya.

Penghujung filem itu menyaksikan kumpulan 40 penyamun itu “tumpas” satu-persatu apabila disimbah minyak panas, seorang daripadanya dilakonkan Kadir Mamat atau lebih mesra dengan panggilan Pak Kadir.

Selain Ali Baba Bujang Lapok, Kadir yang kini berusia 91 tahun turut menjadi pelakon tambahan dalam tiga lagi filem P Ramlee iaitu Pendekar Bujang Lapok, Kanchan Tirana dan Enam Jahanam.

FOTO: FMT

Kadir turut berlakon dalam Pendekar Bujang Lapok yang mengisahkan perjalanan tiga sahabat menuntut ilmu silat.

“Paling jelas nampak dalam Ali Baba Bujang Lapok ketika (pelakon) Sarimah jirus minyak panas (pada penyamun) yang pertama (itulah saya),” katanya sambil menunjukkan video babak itu ketika ditemui FMT di kediamannya di Kampung Kedai Lalat.

Namun, selepas berlakon empat filem itu beliau pulang ke kampung halaman dan menyambung kerjaya seni bawah kumpulan pelawak tempatan dikenali Wok Sir selama hampir 20 tahun selain menjadi sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam (kini dikenali Angkatan Pertahanan Awam) untuk mencari rezeki.

“Kalau ikutkan tak padan (harga upah). Kalau hendak suka-suka bolehlah dapat RM20, RM25 atau RM30,” katanya ketika ditanya mengapa tidak meneruskan kerjaya seni yang mungkin boleh mengangkat namanya sebaris produk Studio Jalan Ampas seperti S Shamsuddin dan Aziz Sattar.

Di sebalik keterbatasan memaksimumkan potensi dalam bidang seni, Kadir bersyukur kerana berpeluang bekerja dengan nama besar seperti P Ramlee yang sangat tegas dan kreatif dalam berkarya.

“Ketika penggambaran kalau tidak fokus beliau selalu marah, tegur ‘kalau nak berlakon, berlakon…kalau nak cakap hal lain boleh keluar (dari set)’,” katanya yang mula berlakon pada usia 20 tahun.

Selain P Ramlee, Kadir tidak lupa jasa penyanyi tersohor Allahyarham SM Salim yang menumpangkannya di rumah di Kuala Lumpur apabila berhijrah dari Kelantan pada 1958.

FOTO: FMT

Kadir menunjukkan gambarnya ketika muda (kanan) serta gambar P Ramlee dan Saloma ketika pasangan itu berkunjung ke Kota Bharu.

Meniti usia senja, Kadir yang dijaga isterinya Hasmah Yusof, 59, menghidap barah prostat serta asma.

Ketika kunjungan FMT, dirinya hanya terbaring di tilam nipis dan perlu dibantu untuk duduk di kerusi roda.

Hanya ada almari pakaian dan sofa usang di ruang tamu manakala bahang turut dirasai kerana rumahnya tiada siling. Tanpa zuriat, Kadir bergantung kepada Hasmah untuk bergerak termasuk ke hospital mendapatkan rawatan barah dihidapi sejak empat tahun lalu.

“Pendapatan kami hanya bergantung kepada bantuan bulanan RM400 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), tak cukup…kalau ke pasar RM50 hanya dapat beli ikan 2kg,” kata Hasmah yang turut menghidap asma.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban Kadir, boleh menyalurkannya ke Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) melalui nombor akaun 3174647601 (Public Bank, rujukan Kadir Mamat).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini