comscore
Tumpuan :
Hiburan

Penyanyi Veteran Julie Sudiro meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran, Datin Paduka Julie Sudiro, 80, meninggal dunia pada jam 9.30 malam tadi selepas dimasukkan ke Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor untuk rawatan sejak 9 Januari lalu.

Perkara itu disahkan anak bongsunya, Jose Irmanto Sudiro Soliano, 45, yang memaklumkan berita duka itu kepada Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez.

“Saya dimaklumkan rakan artis Rozita Rohaizad. Saya kemudian menelefon anaknya, Jose dan beliau sahkan berita sedih ini.

“Sebelum ini, arwah ada menunjukkan tanda-tanda positif tetapi tiba-tiba keadaannya tenat dan menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.30 malam tadi.

“Pemergian Julie adalah suatu kejutan buat seluruh penggiat seni. Semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Jose memberitahu, ibunya dimasukkan ke di Hospital UiTM, Puncak Alam, selepas paras oksigen, menurun.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu jazz dan keroncong sejak era 1960-an itu ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), Hospital UiTM dan memerlukan bantuan pernafasan.

Dua tahun lalu, BH Online melaporkan Allahyarham Julie atau nama sebenar, Raden Juariah Raden Sudiro menjalani hidup dengan tenang sebagai guru mengaji.

Antara mereka yang pernah bergelar anak murid Allahyarham Julie termasuklah anak Allahyarham Seniwati Mariani, Shasha dan Dian P Ramlee dan ramai lagi.

Loading...
Terkini