comscore
Tumpuan :
Nasional

Penyasaran subsidi diesel: KPDN panggil 10 syarikat umum naik harga barang, perkhidmatan

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan notis bertulis memanggil 10 syarikat yang telah mengumumkan untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan pasca penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lalu.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, notis tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723).

“Syarikat yang telah dikenal pasti ini akan diminta untuk memberikan penjelasan berkaitan kewajaran tindakan syarikat terbabit untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, 10 syarikat berkenaan terdiri daripada masing-masing tiga syarikat sektor pengangkutan dan sektor bahan binaan, selain masing-masing dua syarikat bagi sektor makanan dan minuman serta sektor sewaan jentera.

Menurut Armizan, dua syarikat telah dipanggil semalam dan selebihnya akan menyusul mengikut jadual.

“Melalui siasatan awal, empat syarikat terlibat telah diluluskan permohonan ‘fleet card’ tetapi telah mengeluarkan notis bagi kenaikan barang dan perkhidmatan.

“Manakala baki enam syarikat lagi mempunyai kenderaan yang tidak termasuk dalam senarai Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0,” katanya.

Mengulas lanjut, ujarnya, setiap syarikat akan diminta untuk memberikan perincian maklumat termasuk dokumen berkaitan penawaran perkhidmatan atau penjualan barangan bagi tujuan penyediaan analisis pencatutan.

Tegasnya, kegagalan untuk menghadirkan diri juga boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 57 Akta 723 tersebut.

Datuk Armizan berkata, KPDN telah melancarkan Ops Kesan 2.0 pada 8 Jun lalu bertujuan untuk memastikan semua penentuan atau peningkatan harga dan caj yang berlaku di peringkat sektor perkhidmatan yang diluluskan permohonan subsidi diesel di bawah SKDS 2.0.

Ia bagi menentukan sama ada kenderaan yang layak atau yang tidak layak adalah mematuhi perundangan Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang
Tidak Munasabah) 2018 dan tidak mencatut di bawah perundangan AKHAP 2011.

“Kementerian ingin memberikan amaran kepada semua pihak agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dan perkhidmatan dengan elemen pencatutan susulan penyasaran subsidi diesel yang telah dilaksanakan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga akan dikenakan tindakan yang tegas di bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang dikuatkuasakan oleh kementerian terutamanya di bawah Akta 723.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat, manakala sehingga RM100,000  bagi individu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada Ahad lalu, kerajaan mengumumkan harga runcit diesel ditetapkan RM3.35 seliter bermula 10 Jun lalu di Semenanjung manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

Sejumlah 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan menikmati diesel bersubsidi melalui penggunaan ‘fleet card’ di bawah SKDS.

Menerusi SKDS 1.0, sektor pengangkutan awam darat berkelayakan termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan bomba kekal membeli diesel pada harga RM 1.88 seliter.

Bagi SKDS 2.0, kenderaan logistik berkelayakan akan menggunakan kaedah fleet card bagi membendung kesan terhadap harga barangan pengguna ditetapkan pada harga RM2.15 seliter.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini