comscore
Tumpuan :
Nasional

Penyasaran subsidi: Pimpinan belia sahut saranan PM

Wan Nor Farel Azli Wan Haron/Presiden Pertubuhan Ikatan Komuniti Aktif Malaysia (AKTIF) (kiri), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin/Presiden ABIM.

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

PETALING JAYA: Pimpinan dan aktivis belia sedia menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerangkan kepada masyarakat terutamanya golongan muda tentang keperluan penyasaran subsidi yang bakal dilaksanakan kerajaan.

Bagaimanapun,menurut Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin kerajaan perlu memastikan pelaksanaan dasar lebih jelas bagi memastikan tidak timbul kekeliruan berkenaan penyusunan semula subsidi terbabit.

“Memang kita maklum tidak semua masih lagi faham berikutan apa yang dihasratkan, mewakili gerakan dan pimpinan belia di seluruh negara pastinya tanggungjawab dan pimpinan aktivis belia untuk turun ke masyarakat untuk menerangkan dengan lebih lanjut penyusunan semula sistem subsidi.”katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Tambahnya kerajaan juga perlu menjelaskan dengan lebih terperinci bagaimana pelaksanaan penyasaran subsidi terbabit akan dilakukan, selain perlu menangkis khabar angin dengan lebih berkesan bagi mengelak kegusaran dalam kalangan rakyat.

Pandangan sama turut dinyatakan Presiden Pertubuhan Ikatan Komuniti Aktif Malaysia (AKTIF), Wan Nor Farel Azli Wan Haron yang berpendapat, salah faham terhadap penyasaran subsidi perlu diperbetulkan.

“Kita menyahut seruan PM, Datuk Seri Anwar untuk memberi pemahaman kepada masyarakat tentang keperluan penyasaran subsidi, berikutan banyak ketirasan yang berlaku sebelum ini termasuk penyeludupan dan kepada mereka yang tidak layak.” katanya kepada Buletin TV3.

Katanya setiap polisi dan dasar baharu yang dirangka berkaitan penyelarasan subsidi tidak meminggirkan golongan yang benar-benar memerlukan.

Semalam ketika berucap merasmikan sambutan Hari Belia Negara  2024, Datuk Seri Anwar menegaskan golongan belia di negara ini perlu memahami objektif di sebalik tindakan kerajaan melaksanakan penyasaran semula subsidi bahan api dan elektrik.

Malah, Perdana Menteri berkata, golongan belia di Malaysia juga perlu memperkasakan diri dan menuntut pelaksanaan subsidi di negara ini disasarkan secara khusus kepada golongan kurang berkemampuan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini