comscore
Tumpuan :
Nasional

Penyelam ditemui mati lemas akibat terbelit hos oksigen, tali

Mayat penyelam Muhammad Aiman Zambri dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman. – Foto tular

CHUKAI: Seorang penyelam lemas ketika menjalankan kerja memotong besi kapal karam berhampiran Pantai Geliga dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 4.45 petang, Muhammad Aiman Zambri, 25, beralamat di Kampung Kubur Tok Panjang, Kemaman ditemui rakannya, Sukril Aman Rabilalim A Rani, 40.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, Muhammad Aiman dan Sukri Aman Rabilalim adalah penyelam yang melakukan kerja memotong besi kapal karam di dasar laut di situ.

Sebelum kejadian, kedua-dua pekerja itu menyelam ke dasar laut untuk membuat tanda di besi kapal karam terbabit yang hendak dipotong, jam 4 petang.

“Semasa mereka hendak naik ke permukaan, kedua-dua mereka dikatakan terbelit dengan hos oksigen, tali kecemasan dan tali penanda besi.

“Seorang mangsa dikatakan dapat melepaskan diri dan sebaik membuka pemberat di badannya, dia bergerak naik ke permukaan air,” katanya.

Bagaimanapun ketika itu, Shukri Aman masih berusaha cuba melepaskan diri daripada lilitan hos oksigen.

“Kira-kira lima minit selepas itu, Shukri Aman dapat melepaskan diri dan sebaik sampai di darat, dia mencari mangsa namun gagal menemuinya.

“Sukril Aman kemudian mencari mangsa dengan mengikuti hos oksigen dan mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Shukri Aman kemudian membawa mangsa ke darat dan mendapati sahabatnya itu sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat,” katanya.

Hanyan berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun pihaknya akan melakukan siasatan sama ada wujud unsur kecuaian dalam insiden berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini