comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Penyelia jururawat cedera diserang anjing liar, MBKT pasang perangkap

KUALA TERENGGANU: Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latiff mengerakkan pegawai dan anggotanya untuk memasang perangkap anjing di Jalan Pejabat, di sini.

Tegasnya tindakan pemasangan perangkap dan memburu anjing liar itu dilakukan mengikut Seksyen 81 (B), Akta Kerajaan Tempatan 171.

“Akta itu memperuntukan kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan secara terus ke atas anjing terbiar dan liar yang menjadi punca gangguan kepada penduduk setempat,” katanya.

Ahad lalu, seorang penyelia jururawat nyaris parah apabila diserang sekumpulan beberapa ekor anjing liar.

Penyelia jururawat berusia 54 tahun berjalan kaki seorang diri untuk ke tempat letak kereta selepas selesai menghadiri mesyuarat di Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) di Wisma Persekutuan, kira-kira jam 12.55 petang.

Mangsa yang enggan namanya didedahkan berkata, dia secara tiba-tiba diserang sekumpulan anjing liar yang muncul berhampiran taman permainan kanak-kanak di kawasan itu.

“Ketika cuba melarikan diri, kita terjatuh ke atas jalan dan sekumpulan anjing liar itu cuba menerkam tubuh saya.

“Bagaimanapun, kita bernasib baik kerana beberapa individu yang secara kebetulan melalui lokasi kejadian dan bertindak menghalau sekumpulan anjing liar itu,” katanya.

Penyelia jururawat berkenaan hanya mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dan turut membuat laporan kepada polis.

Sementara itu, Rosli berkata meskipun ada pihak tidak berpuas hati dengan tindakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memasang perangkap, namun keselamatan orang ramai menjadi keutamaan.

Ketika pemasangan perangkap itu dijalankan, anggota MBKT mendapati  lebih 15 ekor anjing liar berkeliaran di kawasan itu.

“Kita akan terus mengadakan operasi termasuk pemasangan perangkap bagi menangkap anjing liar bagi mengelak lebih ramai individu menjadi mangsa.

“Kita juga kerap mengadakan operasi mencegah anjing liar di lokasi lain dalam kawasan MBKT,” ujar Rosli.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini