comscore
Tumpuan :
Nasional

Penyeludup arak terjun laut elak ditahan

Oleh: Safwan Sawi

LAHAD DATU: Dua suspek bertindak terjun ke laut bagi mengelak ditahan pihak berkuasa dalam cubaan menyeludup minuman keras ke negara jiran di Tanjung Labian, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4.50 pagi itu, suspek lolos ke kawasan daratan berhampiran selepas menyedari kehadiran bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, APMM mengesan sebuah bot enjin sangkut warna hijau tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan lebih kurang 0.5 batu nautika di kawasan Barat Daya rumah api Tanjung Labian.

“Menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia, bot suspek telah memecut laju ke arah daratan yang berdekatan sebelum meninggalkan bot mereka dan terjun ke laut melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa sejumlah 24 botol dan dua tin minuman keras pelbagai jenama, 70 kotak rokok dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.

“Kesemua minuman keras, rokok, bot dan sebuah enjin sangkut yang dianggarkan berjumlah RM20,000 dirampas untuk tindakan siasatan di bawah Akta Kastam 1967,” katanya.

Susulan kejadian itu Rizam menyeru masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan Lahad Datu agar terus memberi kerjasama dengan APMM jika terdapat sebarang jenayah berkaitan.

“Zon Maritim Lahad Datu memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan Lahad Datu agar terus memberi kerjasama dengan melaporkan kepada pihak agensi ini sekira terdapat sebarang maklumat berkaitan salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut ke talian 089-885727 (Pusat Operasi Lahad Datu) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.

Loading...
Terkini